Malaysia Dateline

Akibat langgar SOP PKP, tiga jururawat dikompaun RM4,000

Walaupun bergelar jururawat dan atas tujuan kebaikan, pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetap akan dikenakan kompaun.

Itu dialami tiga jururawat yang bertugas di sebuah hospital swasta di Sungai Petani selepas gambar menyampaikan sumbangan kepada rakan mereka yang sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 tular di media sosial.

Mereka yang berusia antara 34 dan 45 tahun itu masing-masing dikompaun RM4,000 malam tadi kerana didapati melanggar SOP PKP.

Kompaun tersebut dikeluarkan mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021 (Aktiviti Terlarang Nombor 1).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata pihak polis mengesan penama Facebook tersebut pada 9.10 malam dan penama itu mengaku telah pergi bersama dua orang lagi rakannya ke rumah rakan yang memakai ‘gelang pink’ di Kampung Pulau Tengah, Sungai Petani.

“Ketiga-tiga jururawat ini hadir di balai polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai untuk sentiasa mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam apa jua aktiviti sekali pun termasuk untuk tujuan kebaikan.