Malaysia Dateline

Akibat langgar SOP, Zahid dan Ab Rauf dikompaun RM10,000 seorang

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dikompaun RM10,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan kompaun tersebut selepas siasatannya mendapati, kedua-dua individu itu melanggar arahan SOP Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 iaitu menjalankan aktiviti kempen ziarah rumah ke rumah serta tidak memakai pelitup muka di Masjid Tanah.

Sehubungan itu, satu kompaun di bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021 dikeluarkan.

“Untuk makluman, SOP Pencegahan Covid-19 Bagi Pelaksanaan PRU DUN Melaka Ke-15 telah dikeluarkan lebih awal pada 7 November lalu sebagai rujukan agar semua pihak dapat memahami serta mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Ini bagi memastikan pilihan raya dijalankan dengan lancar dan mencegah daripada berlakunya penularan jangkitan Covid-19,” kata kenyataan KKM.

Pihak KKM juga tegasnya akan terus memantau pematuhan SOP dan tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada individu atau organisasi yang melanggar mana-mana SOP.