Malaysia Dateline

Akibat pembuangan sisa kimia, air di Hospital Serdang, Hospital Banting dicatu

Bekalan air di dua hospital kerajaan iaitu Hospital Serdang dan Hospital Banting dicatu akibat pencemaran sisa kimia di Sungai Semenyih.

Catuan di kedua-dua hospital itu ekoran kejadian penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Dalam ciapan di laman Twitter, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu catuan itu terpaksa dilakukan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan di hospital tersebut dapat dijalankan.

“Catuan air terpaksa dijalankan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan seperti pembedahan dan lain-lain dapat dilakukan,” katanya hari ini.

Sementara itu, Hospital Serdang menerusi status di laman Facebooknya memaklumkan sudah mengaktifkan pelan kecemasan gangguan bekalan air.

“Sehubungan itu, semua pihak dinasihatkan untuk menggunakan air dengan berhemah. Kerjasama semua pihak amatlah dihargai,” jelasnya.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataannya sebelum ini, menjelaskan LRA Sungai Semenyih masih belum boleh beroperasi ekoran paras pencemaran bau di Sungai Semenyih berada pada paras tiga ton setakat jam 6.30 pagi tadi.

LRA Sungai Semenyih itu terpaksa dihenti tugas sepenuhnya susulan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Pencemaran bau pada sumber bekalan air ke LRA Sungai Semenyih itu dikatakan berpunca daripada pembuangan sisa secara haram ke dalam lurang periksa kumbahan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Hasil siasatan susulan pencemaran air Sungai Semenyih turut mendapati limpahan minyak kehitaman dikesan pada salah satu pembetung dalam jaringan sistem pembetungan di Bandar Bukit Mahkota, menyebabkan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas.