Malaysia Dateline

Akibat pengaruh dadah, bayi sembilan bulan maut diliwat suami pengasuh

Akibat berada di bawah pengaruh dadah jenis syabu, seorang lelaki berusia 36 tahun disahkan meliwat bayi lelaki berusia sembilan bulan sehingga mengalami kesan pendarahan dan koyakan di bahagian dubur.

Suami pengasuh kepada bayi malang itu dipercayai menekup mulut mangsa menggunakan tangan menyebabkannya meninggal dunia akibat sesak nafas di sebuah pangsapuri di Kelana Jaya pada 27 April lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata ketika kejadian isteri suspek juga berusia 36 tahun sedang mengemas ruang tamu dan membiarkan suaminya bersendirian dengan bayi itu dalam bilik dikunci selama dua jam.

Dia yang juga suspek kes tersebut dan disahkan positif dadah jenis syabu sama seperti suaminya kemudian menemukan bayi berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan oleh lelaki itu yang mengaku pengasuh bayi terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya semalam, lapor Bernama.

Katanya, selain beberapa kesan koyakan pada dubur mangsa dipercayai akibat dimasukkan benda tumpul, bedah siasat turut mendapati terdapat kesan lebam di bahagian mulut dipercayai ditekup menggunakan tangan.

Susulan laporan diterima daripada seorang pegawai perubatan, polis menahan pasangan suami isteri terbabit di kediaman mereka pada 29 April lalu.

Katanya, suspek lelaki disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan, manakala isterinya akan dijadikan saksi pendakwaan dan dituduh mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.