Akibat politik 1 MDB perteguh atau jahanamkan Najib?

Akibat politik 1 MDB perteguh atau jahanamkan Najib?

وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُواْ بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُواْ فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ (2:188)

“Dan janganlah sebahagian kamu mengaut harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang salah dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada pihak berkuasa (yang telah dipengaruhi), supaya kamu dapat mengaut sebahagian daripada harta benda manusia/rakyat  dengan cara yang salah, padahal kamu mengetahui”. – Al Baqarah:188

Saya mulakan perbincangan ini dengan membacakan salah satu ayat yang meletakkan peraturan governance dalam Al Qur’an. Ayat yang datang lima ayat selepas ayat mengenai kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan, iaitu ayat 183 Surah yang sama.

Membawa makna, sebaik selepas kewajipan berpuasa, anda sebagai Muslim juga diwajibkan menjaga ketertiban urusan kewangan dengan mengelakkan mencabul harta orang lain. Apa tah lagi harta awam di mana anda ditugaskan untuk mengawalnya.

Malangnya, isu yang kita akan bincangkan, berkait dengan perlakuan Muslim.

Sudah tentu, sebagai Muslim, saya turut merasa malu, kerana kami berpuasa atas perentah Tuhan, tetapi kami mencabul perentah Tuhan yang lain untuk berlaku amanah dalam urusan kewangan.

Tidak ada apa dan siapa pun yang boleh menyentuh PM buat masa ini.

Tidak kira apa yang   ia telah buat dan berapa besar kesalahan yang ia lakukan.

Inilah perkara yang paling mengecewakan saya sebagai rakyat Malaysia.

Negara tidak ada mekanisma membetulkan kesalahan ketua negara bergelar PM.

Apa yang kita laungkan sebagai Kedaulatan Raja-Raja sekalipun, tidak boleh mengatasi kuasa dan kedudukan PM.

Saya tidak tahu, dalam hairaki kekuasaan negara kita, siapakah sebenarnya yang paling tinggi dan berkuasa?

Dalam sudut ini, nampaknya Najib amat kukuh, berkuasa dan akan terus berkuasa.

UMNO dengan sendirinya juga akan terus menjadi parti tonggak kekuasaan negara.

Dalam keadaan semua evidence menjurus menunjukkan negara telah dikhianati dengan pecah amanah yang lebih besar dari gunung – semua institusi menjadi lemah dalam genggaman hanya satu pihak. Pihak yang ia sendiri adalah objek yang dipertuduhkan.

Satu -satunya kuasa yang masih berbaki adalah Kuasa Rakyat – sebagai tonggak negara demokratik, selagi mana ia demokratik.

Tetapi ada dua halangan besar bagi Kuasa Rakyat untuk menjadi bulat dan gagah.

Samada mereka menghayati isu 1MDB ini dengan sebenar-benarnya. Sama ada akar umbi rakyat jelata menerima maklumat yang terkesan.

Kedua, Kuasa Rakyat mungkin akan tersalur menerusi pilihanraya. Tetapi, dengan pindaan Akta MKN, adakah Kuasa Rakyat akan diatasi oleh kuasa yang lain?

Ukuran awal kesedaran rakyat terhadap mala petaka 1MDB sepatutnya boleh dilihat melalui    dua PRK ini.

Semua pihak, khususnya para pengundi di PRK ini, mempunyai tugas besar membetulkan negara dengan menghantar isyarat yang dapat ditelan oleh DS Najib – pengkhianatan ke atas negara melalui 1MDB tidak dapat dimaafkan.

Calon BN Najib wajib ditolak. Itu bahasa yang difahami oleh DS Najib.

Jika ini tidak berlaku, DS Najib akan menganggap dirinya kebal dan RM 62 billlion tanggungan 1 MDB  di mana sebahagian besar darinya hilang menjadi himpunan kekayaan kepada satu dua individu semata-mata, tidak menyentuh denyut nadi rakyat.

Tentunya, penghakiman rakyat yang lebih besar dan benar adalah PRU yang akan datang.

Tetapi sejauh mana Kuasa Rakyat melalui PRU akan datang akan dipadamkan pula oleh kuasa dharurat yang diberikan oleh Akta MKN atau NSC yang kini telah menjadi undang-undang tanpa perkenan YDP Agung?

Hati kita makin resah. Negara kita mungkin rebah. Hanya kerana satu orang sudah beraja di hati, seluruh negara mesti karam bersama beliau.

Kembali kepada 1MDB –  atau lebih tepat 1NDB atau  One Najib Destruction Berhad. Apakah kerosakan yang telah dilakukan ke atas negara oleh 1NDB:

1. Dua bond bernilai USD 1.75 B ( USD 1.75 x 2 = USD 3.5 B) dengan kadar bunga sebanyak masing-masing 5.99% dan 5.75% yang akan matang pada tahun 2022 atau hanya enam tahun dari sekarang. (Mukas surat 43 Laporan PAC)

Jumlah bayaran bunga dan pokok akan berjumlah USD 4.75 B atau RM 19 B!

2. Bon bernilai USD 3 B akan matang tujuh tahun lagi, iaitu pada 2023 dengan bayaran bunga berjumlah USD 930 juta. Menjadikan tanggungan berjumlah USD 3.93 B atau RM 15.72 B. (Muka surat 44)

3. Bon pertama yang dikeluarkan bernilai RM 5 billion dengan diskaun yang tinggi dan kadar bunga 5.75%, menjadikan jumlah tanggungan pada 2039 seperti dicatit oleh buku Laporan PAC (muka surat 12) – RM 13.625 B.

(RM 5 B untuk bayaran prinsipal dan RM 8.625 B untuk bayaran keuntungan)

4. RM 2.4 B bon sukuk yang akan matang pada tahun 2014 menjadi RM 3B. (Muka surat 45)

5. Pinjaman KWAP kepada bekas anak syarikat 1MDB – SRC sebanyak RM 4 B yang kini telah dipindahkan ke MOF.

6. Syndicated  Bridging Loan (Maybank) Tranche 1 baki tidak termasuk  bunga – RM 3.150 B  (Muka surat 45 Laporan PAC).

7. Term Loan ( Marstan) baki tidak termasuk bunga dengan kadar tinggi 8.50%  – RM 2 B (Muka surat 46)

8. Baki bayaran tunai kepada IPIC – USD 1 B (Muka surat 47)

9. Pelbagai hutang semasa seperti:

–  Perkeso – RM 800 juta

–  Exim Bank – USD 150 juta

–  Pendahuluan Kerajaan – RM 950 juta

Dari senarai ini sahaja, 1 MDB telah meletakkan negara beban kewangan sebesar RM 62.245 B! Tidak termasuk tanggungan bayaran tunai kepada IPIC sejumlah USD 1B.

Tetapi dosa sebenar 1MDB bukan pada mencari hutang dan dilonggokkan ke atas batu jemala atau pundak negara.

Dosa 1MDB adalah berhutang atas nama negara tetapi telah  disalah gunakan untuk agihan yang tidak ada kena mengena dengan apa-apa perniagaan. Sedangkan, beban untuk menyelesaikan hutang itu terkena kepada semua rakyat, baik yang berdosa mengekalkan pemimpin seperti ini atau yang tidak berdosa, termasuk anak-anak yang baru dilahirkan.

Pada muka surat 94, Laporan PAC mencatitkan seperti berikut:

“Pada 30 September 2009, sejumlah USD 300 juta dipindahkan ke akaun 7619400 di J.P Morgan (Suisse) SA iaitu bank 1MDB PetroSaudi Ltd tetapi bakinya sebanyak USD 700 juta pula dipindahkan pada tarikh yang sama ke akaun 11116073 di RBS Coutts Bank Ltd, milik sebuah syarikat lain yang tidak terlibat dengan projek usaha sama ini”.

Pada muka surat 26, Laporan itu menyebut bahawa nama syarikat berkenaan yang menerima pindahan sejumlah USD 700 juta itu adalah Good Star Limited, seperti diakui sendiri oleh Datuk Shahrol Azral kepada PAC.

Laporan PAC, untuk isu ini, mencatitkan seperti berikut:

“Semakan JAN juga mendapati tiada kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB untuk pemindahan wang ini…” (muka surat 26)

IMDB mengeluarkan bon bertarikh 29 Mei 2009 sejumlah RM 5 B. Hampir separuh dari jumlah ini, iaitu USD 700 juta dipindahkan ke dalam akaun Good Star yang kemudiannya, berdasarkan surat BNM kepada PAC, adalah dimiliki oleh seorang bernama Jho Lo.

Akhirnya, pada tahun 2039, rakyat Malaysia perlu membayar bon ini, sejumlah RM 13.6 B! Pada hal, hutang itu bukan untuk membina lebuh raya atau menara tinggi atau projek yang tangible, tetapi semata-mata untuk dimasukkan ke dalam akaun satu orang dari seluruh penduduk Malaysia.

Berhutang untuk dilarikan. Bebannya ditinggalkan untuk ditanggung oleh negara.

Wang itu disalurkan semula kepada orang yang berkuasa mengarahkan pinjaman itu dibuat.

Ini bukan rompakan harta negara?

Adakah ini bukan dosa?

Adakah ini bukan pengkhianatan pada negara?

Apakah istimewanya Jho Lo untuk diberikan peluang melarikan sejumlah lebih RM 2 billion dari wang yang dihutang atas nama rakyat dan negara?

Jelas, ini bukan  perniagaan  tetapi pengkhianatan.

Bukankah nombor akaun Good Star telah tertulis terang – 11116073 di RBS Coutts Bank Ltd – dan penerima manafaatnya adalah Jho Lo?

Tetapi polis dan segala macam alat negara terpaku?

Dalam masa yang singkat ini, saya tidak dapat memperturunkan sekian banyak dosa-dosa 1MDB yang akan menghantui Malaysia untuk tempoh masa yang panjang. Sebenarnya, fakta ini bersama senarai dosa pengkhianatan amanah wang negara  berkait 1MDB yang lain, telah tersiar dan diketahui awam bagi yang mengikuti isu ini dengan jiwa patriotik.

Berdasarkan ini, jika rakyat mempunyai sikap dan jiwa patriotik, nasib Najib sebagai PM adalah sebenarnya hanya di hujung tanduk.

Bagaimana kita mahu mengoyangkan tanduk tempat Najib bergantung dengan tepat, adalah apa yang patut kita fikirkan.

Jika titik keseimbangan tanduk ini dapat digoyangkan, tempat Najib adalah di mana sewajarnya orang sepertinya perlu tinggal. Tentunya bukan di puncak kuasa di Putra Jaya.

Dari sisi ini, Najib hanya membilang hari.

Sekutu sekongkolnya, puak yang mempertahankannya, pihak yang tidak melaksanakan sumpah tugas mereka dan seumpamanya – mengapa mereka perlu menanggung dosa orang lain. Dan nama baik mereka tidak akan dipulihkan lagi oleh sejarah negara Malaysia tercinta.

Sekiranya Najib turun, PM baru mempunyai tugas mengarahkan siasatan yang menyeluruh, pembersihan yang perlu, dan mengambil langkah segera membekukan semua harta, aset dan wang tunai sama di dalam atau di luar negara yang terkait dengan isu ini dan mengambil langkah undang-undang untuk mengembalikannya kepada Perbendaharaan Negara.

Negara perlu memikirkan mekanisma untuk mengelakkan kedudukan PM tidak dapat digugat biar pun betapa besar kesalahan dan pecah amanah yang ia lakukan.

Mengundi Najib bersama pengkhianatan 1MDB atau menolak Najib kerana sayangkan negara.

Itu makna undi anda:  untuk anda rakyat patriotik Sg Besar dan Kuala Kangsar.

*Ucapan penulii di Kolokium Rakyat 1MDB, Kuala Kangsar

7 Ramadhan 1437/12 Jun 2016

COMMENTS

Wordpress (0)