Akibat projek 1MDB, LTAT lewat bayar gratuiti pesara tentera

Akibat projek 1MDB, LTAT lewat bayar gratuiti pesara tentera

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) digesa menjelaskan kelewatan bayaran gratuiti kepada pesara-pesara angkatan tentera yang tidak layak menerima pencen sehingga ada yang terpaksa menunggu sehingga enam bulan selepas tarikh persaraan berbanding tempoh biasa sebulan.

 

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) digesa menjelaskan kelewatan bayaran gratuiti kepada pesara-pesara angkatan tentera yang tidak layak menerima pencen sehingga ada yang terpaksa menunggu sehingga enam bulan selepas tarikh persaraan berbanding tempoh biasa sebulan.

 

Malah Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli melahirkan kebimbangan jika kelewatan itu diakibatkan masalah kewangan ekoran keterlibatan LTAT dengan 1MDB.

“Seperti yang kita sedia maklum, LTAT melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) adalah kontraktor ‘turnkey’ yang bertanggungjawab memindahkan dan menaiktaraf lapan pangkalan udara yang sepatutnya dilaksanakan oleh 1MDB.

“Kerajaan Persekutuan melantik 1MDB bagi kerja-kerja tersebut sebagai syarat 1MDB mendapat tanah-tanah di pangkalan TUDM Sungai Besi. 1MDB pula menganugerahkan kerja-kerja tersebut kepada PPHM dengan kontrak bernilai RM2.1 bilion seperti diumumkan 1MDB sendiri pada 3 April 2013,” jelas Rafizi dalam satu kenyataan media.

Bagaimanapun tambah beliau, 1MDB mengalami masalah kewangan yang teruk sehingga bermasalah untuk membayar hutangnya sendiri.

Naib Presiden PKR itu juga mahukan kepastian sama ada 1MDB telah melangsaikan sepenuhnya bayaran kepada PPHM yang terpaksa pula membayar sub-kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pemindahan dan naik taraf tersebut.

“Jika 1MDB lewat membayar jumlah yang besar kepada PPHM, saya khuatir LTAT terpaksa mendahulukan dananya terlebih dahulu kepada sub-kontraktornya.

“Jika ini berlaku bagi jumlah kontrak yang besar iaitu RM2.1 bilion, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan LTAT dan boleh menjejaskan kemampuannya membayar gratuiti kepada pesara tepat pada masanya,” ujarnya.

Sehubungan itu, Rafizi menyeru 1MDB dan PPHM mendedahkan rekod keseluruhan kerja-kerja yang telah disiapkan dan bayaran tertunggak 1MDB kepada PPHM.

Beliau juga menyeru supaya PPHM mengumumkan berapa bayaran kepada sub-kontraktor yang telah didahulukan oleh LTAT.

“Saya akan menunggu jawapan rasmi LTAT kenapa bayaran gratuiti kepada pesara –pesara tentera adalah lewat dan mendesak supaya masalah ini diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

TAGS