Akibat merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap gadis bawah umur hingga melahirkan anak bulan lalu, seorang lelaki dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.
Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Hazziq Ramdan, 20, selepas menerima pengakuan tertuduh dan mensabitkannya dengan pertuduhan.
Dalam penghakimannya, beliau berkata, kesalahan yang dilakukan lelaki itu adalah serius kerana membabitkan mangsa bawah umur 18 tahun yang mengandung dan melahirkan bayi.
“Saya juga mengambil kira peningkatan kes-kes sebegini di seluruh negara, justeru mahkamah perlu memberikan hukuman tegas sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” dipetik BH.
Bagi pertuduhan pertama tertuduh didakwa merogol perempuan berusia 17 tahun di sebuah rumah di Pangsapuri Sri Siantan, Melaka, pada akhir Februari lalu, kira-kira 3 petang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua dia dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, iaitu melakukan amang seksual fizikal dengan mencium leher, meramas payu dara dan kemaluan mangsa sama di tempat, masa dan pada tarikh sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Lapor BH, mangsa melahirkan bayi di dalam tandas di rumahnya pada 18 November lalu, kira-kira jam 12 tengah malam dan dibawa ke Hospital Melaka (HM) untuk rawatan lanjut.
Satu laporan dibuat oleh ibu kandung mangsa (pengadu) berusia 42 tahun di Balai Polis Kandang selepas menguruskan bayi dilahirkan anaknya.
Pengadu kemudian menerima mesej daripada mangsa yang berada di wad HM memaklumkan dia dipaksa melakukan hubungan seks dengan tertuduh yang dikenali di aplikasi Tik Tok dan tinggal di Pangsapuri Flat Sri Siantan, Bukit Baru, Melaka.
Pengadu kemudian membuat laporan di Balai Polis Bandar Hilir untuk siasatan lanjut hingga membawa kepada penahanan suspek pada 23 November lalu di Muar, Johor.
Terdahulu tertuduh yang beralamat di Taman Tangkak Jaya, Jalan Payamas Tangkak, Johor merayu hukuman ringan atas alasan mahu menjaga mangsa dan bayi terbabit.
Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asyraf Anuar Sharuddin yang menjalankan pendakwaan bagaimanapun berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh atas dua kesalahan dilakukan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh dan lima tahun tahun serta satu sebatan bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua.
Hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 November lalu, dipetik BH lagi.
Baca juga [VIDEO] Gadis ini terlalu pantas tekan kalkulator, netizen seloroh risau jari dia pula patah nanti