Malaysia Dateline

Akibat solat dalam gelap, sorok selipar, 87 penduduk di Bachok, KB kena Covid-19

Sebanyak 87 kes positif Covid-19 direkodkan semalam dalam Kluster Pauh Lima yang membabitkan daerah Bachok dan Kota Bharu, Kelantan dengan sembilan daripadanya kes baharu.

Rekod kes baharu itu menjadikan Kluster Pauh Lima mencatatkan pertambahan kes positif tertinggi berbanding enam kluster lain.

Seramai 423 penduduk sudah menjalani ujian calitan Covid-19 dengan 158 daripadanya menunjukkan keputusan negatif manakala 178 orang lagi menunggu keputusan setakat semalam.

Lebih 1,000 penduduk membanjiri khemah saringan Covid-19 Surau Al-Ahmadiah di Kampung Pauh Lima semalam bagi menjalankan ujian calitan ekoran penularan wabak itu sejak hampir dua minggu lalu.

Kluster kategori keagamaan yang mula diumum pada 11 Mei itu membabitkan Kampung Pauh Lima yang bersempadanan di dua daerah iaitu Bachok dan Kota Bharu.

Menurut Polis Kelantan, Mukim Banggu, Kota Bharu mempunyai 158 rumah dengan 710 penduduk, manakala mukim Banggu, Bachok terdapat 110 rumah dengan 320 penduduk.

Kluster Pauh Lima merujuk pada jangkitan besar-besaran di Kampung Pauh Lima dengan sehingga kelmarin, dua kematian telah direkodkan.

Kluster indeks bagi kluster tersebut ialah seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun yang bergejala dan tinggal di Kota Bharu. Mangsa dilaporkan positif Covid-19 pada 7 Mei bersamaan 25 Ramadan lalu.

Jangkitan dalam kluster itu yang berlaku menerusi kontak keluarga dan sosial dikatakan tercetus daripada penduduk kampung yang mengadakan solat berjemaah serta tadarus di sebuah surau sempena Ramadan.

Walaupun arahan sudah dikeluarkan dengan surau dilarang mengadakan solat fardu melainkan hanya empat jemaah sahaja tetapi penduduk dilapor tidak mengendahkan arahan terbabit.

Bahkan, aktiviti surau diteruskan di kampung tersebut dengan puluhan jemaah sanggup solat dalam gelap demi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Penduduk tempatan turut memberitahu mereka yang hadir ke surau itu juga dikatakan sanggup menyorok selipar supaya kehadiran mereka secara beramai-ramai tidak dapat dikesan.

Mengulas insiden jangkitan dalam Kluster Pauh Lima, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, beberapa pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) telah dikesan hasil siasatan pihaknya.

“Dalam temubual kami dengan pesakit, ada beberapa pelanggaran telah dibuat jemaah termasuklah tidak mematuhi jarak.

“Siasatan yang dibuat juga mendapati pihak surau tidak menyediakan alat pengimbas suhu, kod QR melalui aplikasi MySejahtera atau buku mencatatkan nama yang berkemungkinan besar tercetusnya kluster ini,” katanya ketika ditemubual Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, penduduk kampung berusia 45 tahun yang enggan dikenali memberitahu aktiviti di surau tetap diteruskan seperti biasa termasuk sepanjang Ramadan.

“Mereka tetap mengerjakan solat lima waktu seperti biasa. Cuma untuk waktu siang, kehadiran tidak seramai sebagaimana di sebelah malam.

“Ketika solat sunat tarawih, kehadiran memang ramai sehingga mereka sanggup solat dalam keadaan bergelap dan menyembunyikan selipar.

“Memang rasa terkilan dan kecewa dengan tindakan penduduk berkenaan kerana kesannya habis satu kampung yang terjejas disebabkan kedegilan mereka,” lapor Harian Metro.

Untuk rekod, terdapat dua kematian telah direkodkan dalam kluster tersebut setakat kelmarin.

Kluster Pauh Lima mencatatkan pertambahan kes positif tertinggi berbanding enam kluster lain.

Bermula jam 12 tengah malam tadi, dua lokaliti iaitu Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong, Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu, Kelantan dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 1 Jun.

Kesemua penduduk terbabit tidak boleh keluar dari kawasan masing-masing manakala orang ramai dari luar juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan Kampung Pauh Lima sepanjang PKPD berkuat kuasa.

Bagi penduduk berusia 50 tahun, Yah pula, beliau mengakui apa yang berlaku menimbulkan kemarahan kepada penduduk yang lain terutama mereka yang mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Saya mendapat maklumat memang ada jemaah yang batuk serta demam, namun masih pergi ke surau berkenaan untuk solat tarawih.

“Saya pun tidak faham kenapa penduduk terlalu degil untuk mengikut arahan yang dikeluarkan. Inilah dikatakan mengejar pahala di tempat yang salah.

“Bila pelaksanaan PKPD, semua penduduk yang terjejas, bukannya hanya golongan yang melanggar SOP,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku lonjakan kes secara mendadak membabitkan kedua-dua lokaliti terbabit.

Jelasnya, dalam tempoh dua minggu, peratusan kes positif adalah 26.62 peratus di Kampung Pauh Lima, Bachok dan 55.22 peratus di Kampung Pauh Lima, Kota Bharu.

Mulai hari ini, Kampung Pauh Lima ‘dikurung’ dengan sejumlah kon dan tanda amaran serta pagar kawat berduri dipasang di beberapa kawasan termasuk sekatan di tujuh laluan tikus di celah-celah kediaman penduduk.

Dalam masa sama, terdapat enam sekatan jalan raya (SJR) di Bachok, manakala empat di Kota Bharu serentak dengan kawalan dan pengawasan melalui udara menggunakan dron.

Kampung Pauh Lima ‘dikurung’ dengan sejumlah kon, tanda amaran dan pagar kawat berduri hingga 1 Jun.
Dron diguna bagi pantau kawasan PKPD di Kampung Pauh Lima mulai hari ini.