Malaysia Dateline

Akibat tempias Covid-19, Tony Fernandes jual rumah agam di Scotland

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes menjual rumah agamnya di Ayrshire, Scotland yang bernilai 2.5 juta Pound (RM13.55 juta), lapor The Sun.

Rumah agam di kawasan seluas 125 ekar itu dikatakan memiliki lima buah bilik beserta bilik simpanan wain, gimnasium, sauna dan gelanggang tenis.

Bekas Pengerusi pasukan bola sepak, Queens Park Rangers dan mantan peneraju syarikat rakaman Warner Music (Malaysia) itu pernah tinggal di Skeldon House di Dalrymple, Ayrshire selama tujuh tahun.

Tony, 56, membuat keputusan menjual sebahagian daripada hartanya bagi menyelamatkan empayar perniagaannya.

Tokoh korporat berkenaan dilapor turut terkena tempias Covid-19 yang telah mengakibatkan sekatan perjalanan di banyak negara sekali gus menjejaskan industri penerbangan.

Mac lalu, AirAsia mengumumkan penggantungan kesemua penerbangan dalam rangkaiannya ekoran pandemik tersebut.

Keuntungan bersih AirAsia Group Bhd sebelum ini mencecah berbilion ringgit.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 contohnya, keuntungan bersih syarikat itu meningkat kepada RM1.98 bilion berbanding RM1.63 bilion pada 2017.