Selain kegagalan jangka panjang dasar ekonomi, khususnya berkaitan pengeluaran makanan, masalah kenaikan harga bahan makanan yang kita alami dipengaruhi juga oleh faktor-faktor lain.
Kita mempunyai pelbagai dasar dan rancangan mengenai pertanian termasuk jaminan bekalan makanan, kecukupan sendiri dan kawalan harga tetapi kebanyakannya terabai kerana kurang dedikasi, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Malah, semakin tahun semakin gagal seolah-olah kita tidak ada Menteri Pertanian. Bukti kegagalan ini amat jelas. Kebergantungan kita kepada import bahan-bahan pertanian meningkat kepada 13.7 peratus daripada 7.3 peratus dalam tempoh 28 tahun dari 1987 hingga 2015. Pada tahun 2020, Malaysia mengimport RM55.5 bilion bahan makanan berbanding eksport bernilai RM33.8 bilion.
Seperti saya sebutkan beberapa kali, sebelum kita makan daging ayam atau lembu tempatan, haiwan-haiwan itu telah diberi makan makanan import. Makanan haiwan pun kita import. Jadi, janganlah terkejut dan marah jika harga ayam tempatan naik.
Setiap kali harga bahan makanan haiwan dunia naik atau kadar tukaran ringgit jatuh, harga ayam, telur dan daging tempatan akan naik. Hanya kawalan dan pemantauan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri boleh membantu sedikit sebanyak. Itu pun nampak sangat lembap dan meragukan.
Faktor-faktor yang mempengaruhi harga barang saling kait mengait dan antara yang utama adalah inflasi, kadar tukaran mata wang, kadar faedah, hutang awam, kestabilan politik, kesihatan ekonomi, perimbangan perdagangan, defisit akaun semasa, keyakinan dan spekulasi.