Malaysia Dateline

Akibat tinggalkan bayi dan keluar rumah – Anak asuhan gigit, pulas kedua-dua telinga

Seorang pengasuh di Taman Putra, Ampang Jaya dikatakan meninggalkan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan dan keluar rumah sehingga mengakibatkannya cedera.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata mangsa mengalami kecederaan dipercayai berpunca daripada anak asuhan yang lain menggigit muka bayi itu.

Ekoran itu, wanita berusia 43 tahun berkenaan ditahan kelmarin selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada Jumaat lalu.

Dia yang mempunyai enam anak asuhan berusia antara tiga bulan hingga dua tahun itu direman selama empat hari hingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes kecederaan bayi tersebut.

Suspek juga mempunyai dua anak kandung yang tinggal bersama, iaitu masing-masing seorang lelaki dan perempuan berusia 16 tahun serta lapan tahun.

Menurut Mohamad Farouk, mengikut laporan polis itu, ibu mangsa mendakwa menyedari anaknya mengalami kecederaan dengan kesan gigitan di muka dan pulas pada kedua-dua telinga.

“Ibu mangsa kemudian membawa anaknya ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, dipetik BH Online.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Sekiranya sabit kesalahan, wanita berkenaan boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Baca juga Negara ke-12 terbawah miliki jalan raya terburuk jatuh kepada …

Baca juga Isu pakaian seksi ketika persembahan, Dolla mohon maaf