Malaysia Dateline

Akmal dituntut tarik semula keputusan, kekalkan Najwan Ketua AMK Selangor

Ketua-ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) peringkat cabang seluruh Selangor, menuntut Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir menarik semula keputusan dan mengekalkan Najwan Halimi sebagai Ketua AMK negeri itu.

Menerusi kenyataan 14 Ketua AMK dan 3 timbalannya, mereka membantah sekeras-kerasnya keputusan tersebut yang dilakukan secara tergesa-gesa, semberono dan tanpa sebarang konsensus melibatkan pimpinan AMK cabang Negeri Selangor.

Menurutnya, sepanjang tempoh lebih dua tahun memimpin AMK Selangor, Najwan telah mempamerkan kepimpinan yang cemerlang serta berperanan penting dalam menyatupadukan anggota AMK yang berpecah disebabkan Langkah Sheraton.

“Beliau juga telah memastikan pandangan, cadangan serta suara anggota akar umbi di Negeri Selangor diperjuangkan di peringkat yang lebih tinggi serta ditangani dengan baik.

“Justeru, kami menzahirkan solidariti dan dukungan penuh kepada Najwan.

“Kami menuntut Ketua AMK Malaysia menarik semula keputusan beliau semalam dan mengekalkan kedudukan Najwan demi memastikan kestabilan sayap pemuda Keadilan, selain untuk mengelakkan perpecahan dalaman parti,” tegas mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, Akmal telah membubarkan seluruh jawatankuasa AMK negeri itu berkuatkuasa serta merta sekaligus melucutkan jawatan Ketua AMK Selangor, yang disandang Najwan.

Menerusi surat yang dihantar ke Malaysia Dateline, kenyataan itu menyebut ‘Rombakan Menyeluruh Struktur Jawatankuasa AMK Selangor’ yang ditandatangan Setiausaha AMK Malaysia, Ahmad Syukri Che Ab Razak.

Surat itu menyatakan, ada keperluan untuk AMK Malaysia melakukan rombakan strategik bagi bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 dan memastikan gerak kerja yang lebih berfokus dan tersusun.

Kenyataan tersebut dibuat bersama Ketua AMK Kuala Langat, Mohd Shah Rezza Mohd Tuniman; Ketua AMK Puchong, Mohd Fitri Jamaludin; Ketua AMK Damansara, Muhammad Dzul Hilmi Zainol; Ketua AMK Hulu Langat, Muhammad Hanafi Jalalludin; Ketua AMK Bangi, Saiful Azlan Zainal; Ketua AMK Hulu Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad; Ketua AMK Kota Raja, Jestin A/L savarimuthu; dan Ketua AMK Klang, Ahmad Faiz Mustapa Kamal

Selain itu, turut menyokong, Ketua AMK Petaling Jaya, Shahrulnizam Abdul Rahim; Ketua AMK Tanjong Karang, Mohd Helmi Sanusi; Ketua AMK Kapar, Megat Shariffudin shaharuddin; Ketua AMK Ampang, Awalluddin Shariff; Ketua AMK Gombak, Arie Yudistira Ishaq Arifin Fadli; Ketua AMK Kuala Selangor, Selventhiran A/L Sandanam.

Manakala 3 Timbalan AMK cabang Selangor iaitu Timbalan Ketua AMK Selayang, Mohamad Kusini Abd Rahim; Timbalan Ketua AMK Sungai Buloh, Syafiq Iqmal Fozi; dan Timbalan Ketua AMK Pandan, Mohd Izat Hamirudin