Akmal diumumkan sebagai Ketua AMK yang baru walaupun diejek

Akmal diumumkan sebagai Ketua AMK yang baru walaupun diejek
Akmal mengangkat tangan selepas diumumkan sebagai pemenang Ketua AMK dengan majoriti kecil.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir telah diumumkan sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang baru mengalahkan pesaingnya, Dr Afif Bahardin walaupun beberapa pihak tidak berpuashati dan menuntut diadakan pemilihan semula.

Penyokong Dr Afif melaungkan ejekan sambil menjerit nama calon mereka yang kalah pemilihan tiga penjuru itu berkali-kali.

Mereka juga menjerit menuntut pemilihan sayap itu diadakan semula.

Kekecohan itu bagaimanapun hanya berlangsung hampir lima minit dan situasi kembali normal apabila mereka ditenangkan oleh wakil Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Timbalan Ketua AMK yang baharu, Hilman Idham dalam ucapannya turut meminta para penyokong kedua-dua pihak agar bertenang dan bersatu di bawah satu kepimpinan demi masa depan parti.

“Dengan ini, di hadapan Dr Afif dan Akmal, ‘Keadilan Masa Depan’ dibubarkan serta-merta,” kata Adun Gombak Setia itu, lapor The Malaysian Insight.

Akmal dalam ucapannya sebagai Ketua AMK buat pertama kali, turut mengajak Dr Afif ke hadapan pentas untuk dihargai.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu mengakhiri ucapannya dengan laungan reformasi dan mengatakan kesungguhannya untuk menyatukan sayap itu di bawah kepimpinan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Kita perlu bersatu di bawah satu kepimpinan dan berkhidmat untuk rakyat. Selepas ini matlamat kita adalah menjadikan presiden Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri akan datang,” kata Akmal.

Kongres AMK kemudian ditangguhkan tepat pukul 6.48 petang.

Berdasarkan undian setakat pukul 2 pagi semalam, Dr Afif ketinggalan lebih 100 undi dan pengiraan disambung semula pagi tadi, lapor portal berita itu lagi.

Malah JPP masih mengira undi di ibu pejabat parti di Petaling Jaya sehingga lewat malam ketika Ketika Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali merasmikan kongres sayap itu malam tadi.