Akmal junjung titah Agong, akur nasihat jaga keharmonian negara dan kesucian Islam

Oleh WAN SITI AMINAH

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhammad Akmal Saleh menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk menjaga keharmonian negara dan memelihara kesucian agama Islam.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Akmal turut menyatakan bahawa dirinya akur dengan nasihat Seri Paduka Baginda supaya polemik keagamaan yang sedang berlaku dapat diredakan.

Hantaran itu dimuat naik sejurus selepas Akmal bersama pemimpin kanan Umno lain dan wakil rakyat DAP dititahkan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, semalam.

Dalam hantaran yang sama, Akmal turut mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dikurniakan kekuatan dan kesihatan agar dapat memerintah negara dengan penuh kedaulatan dan kebesaran.

“Saya menjunjung titah di atas nasihat KDYMM Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga keharmonian negara dan memelihara kesucian agama Islam agar polemik yang berlaku dapat diredakan.

“Didoakan semoga KDYMM Yang di-Pertuan Agong dikurniakan kekuatan dan kesihatan serta terus kekal bersemayam di singgahsana dan dapat memerintah negara dengan penuh kedaulatan dan kebesaran,” tulisnya.

Selain Akmal, sesi mengadap itu turut dihadiri Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Timbalan Setiausaha Agung DAP iaitu Liew Chin Tong.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebook menitahkan supaya semua pihak memberikan tumpuan mengajak rakyat ke arah perpaduan, bukannya perpecahan.

Baginda juga berharap agar semua pemimpin politik tanpa mengira latar belakang untuk tidak terlalu ekstrem dalam memberikan pandangan berkenaan isu-isu agama dan juga perkauman.

“Pemimpin mesti menjadi jambatan atau penghubung antara rakyat majmuk negara kita dengan contoh perilaku yang matang.  Kejadian baru-baru ini sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa semua lapisan rakyat mempunyai tanggungjawab menjaga perpaduan negara. 

“Perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sejagat Malaysia. Menjelang Hari Raya yang mulia ini, bermaaf-maafanlah antara satu sama lain dan buka lembaran baharu.” Titah Baginda.

Pada 5 April lalu, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu ditahan sebaik sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah.

Beliau yang ditahan oleh sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman itu disoal siasat selama hampir dua jam sebelum dibebaskan pada hari sama selepas keterangannya selesai dirakam.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 di mana ucapan Akmal berhubung isu penjualan stoking kalimah Allah sebelum ini didakwa berbaur hasutan.

Baca juga: Bertahun guna Vellfire, tapi lepas buat kira-kira pemuda ini saran lebih baik sewa dari beli