Malaysia Dateline

Aksi jatuhkan serban tular ketika protes ganas terus bermandikan darah

Di tengah-tengah protes besar-besaran berdarah di Iran sejak September lalu ekoran kematian wanita Kurdish, Mahsa Amini, 22, tular di media sosial aksi anak muda lelaki dan perempuan menjatuhkan serban milik individu yang sedang berjalan kaki.

Aksi mengejutkan itu sebagai sebahagian daripada protes terhadap undang-undang wajib berhijab yang menyaksikan ramai terkorban dan cedera parah ekoran tindakan keras rejim Iran dalam membanteras tunjuk perasaan.

Walau bagaimanapun, tindakan menjatuhkan serban mullah yang dianggap simbol rejim Iran ketika memuncak demonstrasi itu menerima kecaman orang ramai kerana dianggap amat biadab dan keterlaluan.

“Ini bukan tanda masyarakat bertamadun. Sekurang-kurangnya orang tua dan mereka yang memilih untuk memakai harus dihormati.

“Selamatkan Iran daripada ketidakstabilan dan pengaruh barat,” kata netizen dipercayai penduduk tempatan yang dipersetujui orang ramai.

Dalam masa sama, ada juga yang berpendapat reaksi penunjuk perasaan yang dianggap melampaui batas itu juga berpunca daripada kegagalan golongan ulama memperjuangkan keadilan buat mereka yang tertindas.

“Pada mulanya, video anak muda Iran yang merakamkan diri mereka menjatuhkan serban sebagai lambang keilmuan Islam dari kepala ulama menganggu saya dan menghina agama negara itu.

“Namun, saya cepat menyedari bahawa bukan penunjuk perasaan yang tidak menghormati serban, sebenarnya mereka yang kebanyakannya munafik berserban yang mencemarkan serban itu dan agama yang dilambangkannya.

“Mereka membiarkan diri mereka menjadi alat utama penindasan dan kezaliman kerajaan. Pembunuhan terhadap rakyat yang tidak bersalah di Iran, Iraq, Syria, Yaman, Lubnan, dan tempat-tempat lain di biarkan,” kata pengguna Facebook, Hussam Ayloush.

Sehubungan itu, dia menegaskan bahawa seorang ulama yang benar-benar berserban akan sentiasa memihak kepada golongan yang ditindas.

Kacau-bilau di Iran dengan tindakan keras oleh pasukan keselamatan membunuh sekurang-kurangnya 378 orang, menurut angka didedahkan Kumpulan Hak Asasi Manusia Iran (IHR) yang berpangkalan di Norway.

Iran dikecam masyarakat antarabangsa apabila pasukan keselamatan berterusan bertindak ganas menembak penunjuk perasaan menggunakan peluru hidup dan senjata berat di wilayah penduduk Kurdish di barat dan barat laut negara itu yang menjadi pusat protes sejak kematian Mahsa.

Sejak 20 November lalu, tentera Iran dilapor membedil dengan menyasarkan bandar Piranshahr, Marivan dan Javanroud hingga digambarkan berlaku ‘pembunuhan beramai-ramai’ dengan ‘dihujani tembakan berterusan’.

Rakaman video yang menunjukkan penunjuk perasaan cedera berbaring di jalan di Javanroud dengan bunyi tembakan yang berterusan turut disiar pihak IHR.

“Mereka mempergiatkan keganasan terhadap rakyat yang tidak berdaya,” kata Pengarah IHR, Mahmood Amiry-Moghaddam di Twitter menyiarkan rakaman video itu.

Lapor AFP, orang ramai di jalanan melaungkan ‘kematian kepada (pemimpin tertinggi Ayatollah Ali) Khamenei’ di ibu kota wilayah berpenduduk Kurdish, Kermanshah.

Baca juga Rusuhan Iran: 185 terkorban, ibu remaja yang mati dipukul pula bunuh diri

Baca juga Anak tertua walaupun baru lahir, pasangan kembar lahir daripada embrio beku berusia 30 tahun