Malaysia Dateline

Aksi, karikatur sindir menteri pakai sut ‘angkasawan’ tular

Penampilan Zuraida semalam dengan ‘tag’ menteri di atas dahinya yang menjadi bahan jenaka orang ramai.

Hanya dalam tempoh 24 jam selepas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengenakan sut peralatan perlindungan diri (PPE), pelbagai bentuk sindiran atau ‘troll’ mulai membanjiri media sosial.

Mengundang lucu di hati orang ramai apabila penanda ‘menteri’ di atas dahi bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sambil memegang hos semburan disinfeksi dilihat sebagai modal berjenaka.

Terdapat yang kreatif menggayakan kembali aksi tersebut berserta penanda ‘menteri’ hanya pada kepingan kotak bersaiz huruf lebih besar.

Tidak kurang juga yang meniru gaya Zuraida dengan tampil menyiram pokok bunga dalam keadaan berjubah.

Gigih dan kreatif menggunakan kepingan kotak menyindir aksi orang politik ketika wabak melanda.

Zuraida yang menjadi antara 11 bekas Ahli Parlimen PKR yang mengkhianati Pakatan Harapan (PH) memang dikenali tampil dengan imej berjubah dalam urusan rasminya.

Selain itu, sindiran ‘Saya Bukan Menteri’ pula dilihat disunting pada imej petugas sebenar sekali gus memberi mesej merekalah sebenarnya barisan hadapan negara dan wira yang tidak didendang.

Berjubah dengan ‘tag’ menteri di kepala sambil menyiram pokok bunga jadi popular.

Selain lakonan semula dan suntingan pada gambar, sindiran dalam bentuk karikatur semestinya wajib ada dalam kreativiti ‘troll’.

Paling menggelikan hati warga maya apabila kartunis Gandum yang ‘menghadirkan’ watak angkasawan Amerika Syarikat, Neil Armstrong yang mencipta rekod manusia pertama meninggalkan tapak kaki di permukaan bulan pada 1969.

Dialog “I’m Neil Armstrong yang berimej sut seorang angkasawan dibalas dengan ucapan sarkatsik, “I’m menteri kau sekolah ke tak?” dengan karakter huruf ‘menteri’ dalam warna merah.

Malah, lebih ‘pedas’ apabila kartunis Megat menampilkan ‘menteri’ dalam sut itu pula yang menyoal entiti menyerupai hantu pocong.

Semalam, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berpakaian sut ‘angkasawan’ itu ketika meninjau proses nyah kuman dan operasi sanitasi awam oleh kementerian diterajuinya di Pasar Awam Jalan Othman, Petaling Jaya.

Sut lengkap yang dipakai menteri mengingatkan umum kepada angkasawan Neil Armstrong.
Sindiran menggambarkan penolakan rakyat terhadap gimik berlebihan orang politik.