Seorang pemuda berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas menunjukkan ‘fungsi’ ibu jari kaki susulan tularnya rakaman memaparkan dirinya sedang menikmati makanan.
Menerusi rakaman yang dikongsikan di platform TikTok itu, pemuda terbabit dilihat sedang menikmati sebekas nasi goreng sambil menonton beberapa video di telefon pintar miliknya.
Perkara itu tidaklah menjadi isu berikutan sudah menjadi kebiasaan untuk orang ramai membuat aktiviti lain ketika sedang menikmati makanan termasuk bermain telefon bimbit atau menonton televisyen.
Namun perkara yang mengundang perbincangan ramai adalah aksi pemuda terbabit menggunakan ibu jari kaki miliknya untuk ‘scroll’ atau menukarkan paparan ke video lain tanpa bantuan anggota tangan.
Menurut perakam video, mereka adalah pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang tidak membuat aktiviti lain di dalam tempoh tiga hari berikutan sesi pembelajaran mereka ditangguhkan.
Setakat artikel ditulis, perkongsian video tersebut sudah berjaya mendapat sebanyak satu juta tontonan bersama 83,400 tanda suka daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya mengakui terhibur menonton rakaman itu.
Ramai juga pengguna memberitahu perakam untuk memaklumkan rakannya bahawa aplikasi TikTok sudah ada pilihan scroll secara automatik yang mana pelayar tidak perlu menyentuh skrin untuk menonton video lain.
Beberapa individu juga berseloroh bahawa mereka baru mengetahui ibu jari kaki memiliki fungsi berguna selepas menonton video tersebut selain berkongsi pengalaman ketika cuba membuat aksi sama.
“Berguna juga rupanya ibu jari kaki ini. Ingatkan fungsinya hanya untuk melanggar bucu meja sahaja,” kata seorang pengguna berkongsikan komen mencuit hati selepas menonton video tersebut.
“Sudah cuba buat sebentar tadi. Alhamdulillah, ibu jari kaki saya sekarang sudah kejang.” Kongsi pengguna lain yang cuba meniru aksi pemuda dalam rakaman tular tersebut.
Baca juga: Wanita bergaji RM2.4k terpaksa pura-pura kaya demi penuhi standard gaya hidup rakan-rakan