Malaysia Dateline

Aksi polis selamatkan anak anjing dapat pujian

“Tersentuh pula hati ini. Bila anak anjing itu polis naikkan ke atas. Ibu bapa anjing itu macam berterima kasih kepada polis itu.“

Itu antara komen daripada warganet sebaik melihat video tular seorang anggota polis menyelamatkan seekor anak anjing yang terperangkap di dalam longkang.

Video berdurasi 1 minit 37 saat itu memaparkan kesungguhan seorang anggota polis mahu membantu mengeluarkan anak anjing berwarna hitam itu.

Bermula dengan proses pujukan, anak anjing tersebut seolah-olah memahami bahawa seseorang akan membantu mengeluarkannya daripada longkang.

Anak anjing itu kemudiannya ‘menyerah diri’ untuk diangkat ke atas dan lebih manis lagi, dua ekor anjing turut berada di situ seolah-olah menyambut ‘kepulangannya’ dari dalam longkang.

“Anjing-anjing itu menggerak-gerakkan ekornya sebagai tanda terima kasih. Tabik hormat kepada abang polis tersebut!,” kata seorang warganet.

Video yang mendapat 120,000 jumlah tontonan itu telah dimuat naik dalam Facebook Polis Diraja Malaysia dan mendapat sebanyak 1,489 perkongsian.