Malaysia Dateline

Aksi Tajuddin tidak mengejutkan, begitu juga Bersatu-Umno

Benar kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar. Penamatan perkhidmatan Tajuddin Rahman sebagai Pengerusi Prasarana tidak mengejutkan.

Apa yang mengejutkan ialah apabila kerajaan Perikatan Nasional melantik beliau. Tentulah ada sesuatu pada Tajuddin yang Mahfuz kenal dan ketahui hingga beliau berkata begitu.

Ini kerana kedua-duanya berkecimpung dalam politik pada waktu yang agak panjang. Komen Mahfuz bukanlah semata-mata beliau adalah seorang anggota pembangkang, tetapi lebih daripada itu.

Pengalaman saya melihat Tajuddin adalah pada awal tahun 1990-an. Ketika itu saya menjadi Pengarang Berita Harian Watan.

Tengku Adnan Mansor baru mengambil alih akhbar Watan daripada Karangkraf melalui syarikat Gagasan Baiduri.

Semasa Watan di bawah Karangkraf, akhbar itu diterbitkan tiga minggu sekali. Tetapi Gagasan Baiduri menerbitkannya enam hari seminggu.

Tengku Adnan sering juga berkunjung ke pejabat Harian Watan di Taman Setiawangsa. Selalunya ketika berada di situ, beberapa aktivis Umno akan muncul bertemu beliau.

Antaranya ialah Tajuddin dan Zaharin Yassin. Kini Zaharin terkenal sebagai pengulas politik yang sering memberikan pandangan kontroversi dan kritikal pada Umno.

Tetapi nama Tajuddin mula menjadi terkenal kerana beliau adalah antara tiga aktivis Umno yang ditahan pada tahun 1987 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang.

Dua lagi ialah Ibrahim Ali dan Fahmi Ibrahim. Dari Umno hanya tiga. Tetapi dari Pas seramai 15 orang.

Antaranya ialah Khalid Samad, Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar. Kini ketiga tiganya adalah pemimpin Parti Amanah Negara.

Operasi Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 dalam suasana ketegangan kaum. Pada masa itu Mahathir Mohamad adalah perdana menteri. Dalam Umno pula, beliau dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Suasana ketegangan kaum bermula dengan isu penempatan guru Melayu di sekolah Cina dengan pemuda Umno dan MCA berbalas-balas kenyataan yang merebak kepada soal hak istimewa orang Melayu.

Kenyataan-kenyataan mereka disiarkan oleh akhbar arus perdana iaitu Utusan Malaysia, Berita Harian, Star dan New Straits Times.

Akhbar-akhbar berbahasa Cina seperti Nanyang Siang Pau dan Sin Chew Jit Poh turut menyiarkannya. Tetapi dalam Operasi Lalang itu, akhbar-akhbar yang dilucutkan permit penerbitannya ialah Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan.

Tetapi Watan yang diterbitkan tiga minggu sekali itu bukanlah akhbar arus perdana. Kemuncak suasana ketegangan itu ialah perhimpunan yang diadakan di Stadium TPCA di Kampung Baru pada 17 Oktober 1987.

Kini tempat itu dikenali sebagai Stadium Mini Jalan Raja Muda Abdul Aziz. Ia merupakan anjuran Pemuda Umno. Saya ada di perhimpunan itu sebagai seorang pemberita. Ketua Pemuda, Najib Razak berucap dengan bersemangat cara dia.

Aktivis lain turut berucap termasuk Tajuddin. Saya tidak selesa dengan ucapan-ucapan mereka kerana saya tidak berkongsi fahaman dan budaya Umno.

Bagi mereka yang berusia lebih 60 tahun tentu masih ingat peristiwa-peristiwa begini. Bagaimana Umno berpolitik dan memimpin negara termasuk Mahathir.

Mereka yang menolak budaya Umno sentiasa menjadi pihak pembangkang selagi parti itu menjadi kerajaan.

Malaysia dipercayai boleh jadi lebih baik jika Umno tidak memerintah atau parti itu sendiri melakukan perubahan dalaman untuk bersikap bersih, cekap dan amanah.

Ada kalangan Umno sendiri atas pelbagai sebab keluar parti dan menentangnya. Antaranya kerana merasakan bahawa cara Umno adalah buruk.

Tentulah pihak pembangkang menerima aktivis bekas Umno untuk bersama dalam perjuangan.Antaranya adalah Tengku Razaleigh, Ibrahim Ali, Anwar Ibrahim dan Mahathir.

Tengku Razaleigh dan Ibrahim kemudian menyertai semula Umno. Kini Ibrahim mempunyai parti sendiri. Sementara itu ada pula kalangan pihak pembangkang bertukar haluan dan menyokong pula Ummo.

Mereka adalah Pas yang berpakat pula dengan Umno di bawah Muafakat Nasional. Mereka yang dalam Pas tetapi terus menolak Umno tentulah tidak dapat menerimanya. Antara mereka memilih untuk menyertai AMANAH.

Dalam pilihan raya 2018, buat pertama kalinya Umno dapat dikalahkan. Dari segi politiknya, ia berlaku kerana sokongan bekas pemimpin Umno yang menolak budaya parti mereka.

Bekas pemimpin Umno utama itu ialah Mahathir dan Muhyiddin Yassin. Kejayaan itu pula berasaskan pada kerjasama Mahathir dan Anwar.

Tetapi kemenangan itu dapat dicapai kerana asas kuat PKR, DAP dan AMANAH. Mahathir, walaupun bekas pemimpin Umno berusaha untuk mewujudkan satu budaya pentadbiran bersih, cekap dan amanah. Lantikan-lantikan yang dibuat adalah kepada mereka yang layak.

Beliau kelihatannya sudah serik dengan budaya lama Umno, iaitu politik wang yang sampai kemuncaknya adalah dalam bentuk kleptokrasi.

Urus tadbir negara yang baik ini juga merupakan nilai yang selama ini diperjuangkan oleh PKR, DAP dan AMANAH melalui Pakatan Harapan, dan sebelum itu, Pakatan Rakyat.

Terdapat tanda-tanda ketika itu bahawa Mahathir mahu menjadikan Bersatu sebagai parti yang akan menggantikan Umno. Fahaman politik Bersatu adalah sama dengan Umno.

Tetapi Bersatu hendak dijadikan sebuah parti yang bersih dan tidak lagi mengamalkan budaya buruk Umno. Namun semua itu hanya tinggal sebagai catatan sejarah.

Ini kerana Umno dapat kembali merasa kuasa, walaupun tidak menerajui kerajaan apabila ada sebahagian ahli politik PKR, Bersatu, Pas dan parti Sarawak dan Sabah menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

Keadaan beginilah yang membawa kepada orang Umno kembali dapat menjadi menteri dan pengerusi syarikat GLC. Antara mereka adalah Tajuddin.

Maka Bersatu pimpinan Muhyiddin, kumpulan PKR pimpinan Azmin Ali, Pas dan GPS memberi nyawa kepada Umno dan budaya lamanya.

Walaupun Umno sudah berasa kekalahan tetapi mereka tidak berubah. Tidak ada pembaharuan terhadap budaya politik mereka. tidak ada reform.

Usaha Tengku Razaleigh dan Khairy Jamaluddin untuk menerajui parti dan melaksanakan pembaharuan ditolak ahli-ahlinya. Orang Umno tetap bersama Zahid Hamidi dan budaya lama mereka.

Cara Bersatu membentuk kerajaan dengan sokongan Umno menunjukkan ia tidak memperkenalkan satu budaya politik lebih baik. Pastinya ia tidak meneruskan azam politik Pakatan Harapan kerana ia tidak terikat dengan sebarang nilai mereka.

Apa yang berlaku ialah cara berpolitik Bersatu itu serupa dengan Umno. Tidak ada pembaharuan.

ia seolah-olah merupakan apa yang dilaungkan oleh sebahagian ahli Bersatu terutama yang pernah menjadi aktivis PKR hilang begitu saja.

Tidak ada aspirasi rakyat. Ia hanya mengenai kuasa dan pentadbiran biasa. Lebih-lebih lagi dalam keadaan melawan Covid-19 sekarang ini.

Sememangnya Mahfuz terkejut ketika Tajuddin dilantik menjadi Pengerusi Prasarana. Tetapi melihat cara politik Bersatu dan Umno, dengan sokongan dari Pas, keadaan yang berlaku sekarang ini tidak patut mengejutkan.

Pihak pembangkang memang wajar dari awal menyuarakan tentangannya terhadap pelantikan Tajuddin. Pada masa ini fikiran rakyat dipengaruhi oleh media sosial yang berada di luar kawalan sesiapa.

Kalau dulu Umno boleh kawal fikiran rakyat melalui media arus perdana iaitu RTM, Bernama, TV3, Utusan Malaysia Berita Harian, New Straits Times dan Star, tetapi kini Bersatu-Umno tidak akan dapat melakukannya.