Malaysia Dateline

Akta 342 ditangguh: Bukti pembangkang tidak pernah bersetuju dengan RUU dipinda

Keputusan Dewan Rakyat hari ini yang menangguhkan Rang Undang Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (pindaan) 2021 membuktikan bahawa dakwaan pembangkang bersetuju dengan kerajaan untuk meminda Akta 342 adalah tidak benar.

Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan Dewan Rakyat itu sekali gus menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini

Beliau menjelaskan, sememangnya tidak wujud sama sekali rundingan bersama pembangkang berkenaan akta berkenaan termasuk dakwaan pihak pembangkang bersetuju dengan hal tersebut.

“Ini jelas membuktikan bahawa Khairy berbohong dengan kenyataan beliau sebelum ini dan hari ini jelas bahawa pembangkang tidak bersama dalam mempersetujui RUU berkenaan.

“Pembangkang maklum berkenaan kebimbangan rakyat dalam berhadapan dengan denda dan pelbagai hukuman yang akan dikuatkuasakan oleh kerajaan sekiranya RUU itu dilaksanakan.

“Sebagai seorang wakil rakyat kita harus menunjukkan pendirian yang memenangkan rakyat bukan memenangkan sesuatu pihak yang berkepentingan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini pembentangan RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 ditangguhkan ke sesi Dewan Rakyat akan datang.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika memutuskan perkara itu berkata, ia dibuat hasil kesepakatan bipartisan dan berlandaskan semangat memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang.

Katanya, pertimbangan lain di sebalik keputusan untuk menangguhkan RUU itu susulan bencana banjir yang masih meruncing sehingga menjejaskan kehidupan seharian rakyat ketika ini.

Sementara itu menerusi ciapan di Twitter Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, beliau berkata, pindaan akta tersebut ditarik balik kerana disifatkan terlalu memangsakan rakyat.

“Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (pindaan) 2021 telah ditarik balik pagi ini di Dewan Rakyat kerana terlalu memangsakan rakyat. Ini peranan kami yang memberikan pandangan yang konstruktif pada pihak kerajaan,” ciapnya.