Malaysia Dateline

Akta 342 masih boleh pakai, kenapa mahu isytihar darurat?

Desas desus kerajaan bakal mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menguatkuasakan perintah darurat semakin kuat diperkatakan, terutama selepas mesyuarat khas Jemaah Menteri berjalan hari ini.

Bekas aktivis yang juga peguam, Lim Wei Jiat sekiranya benar, apakah kewajaran melaksanakan darurat sedangkan Akta 342 iaitu Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998, boleh digunakan untuk mengawal keadaan disebabkan penularan Covid-19.

Tambahnya, Akta 342 itu sendiri telah membenarkan kerajaan untuk menguatkuasa arahan kuarantin dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Soalan pokok, apa yang tidak boleh ditangani oleh Akta Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998, sehingga memerlukan darurat?

“Bab kuarantin, Akta 342 benarkan. Bab isytihar perintah kawalan pergerakan, Akta 342 benarkan. Bab kenakan hukuman kerana langgar perintah berkurung, Akta 342 benarkan.

“Bab kawalan sempadan, Imigresen ada kuasa. Maka soalannya, mengapa perlu pertimbangkan darurat?,” tanya Lim menerusi hantaran Twitternya hari ini.

Pada masa sama, Lim berkata hanya dua kali sahaja dalam sejarah Malaysia yang menyaksikan negara berada di bawah perintah darurat iaitu ketika Konfrontasi Indonesia pada 1964 dan rusuhan kaum 13 Mei pada 1969

Justeru katanya, pengisytiharan darurat kali ini paling membimbangkan kerana ianya akan menakutkan pelabur luar negara dan domestik, sekaligus merundumkan ekonomi dengan lebih teruk.