Akta 355 hantu ke apa? tanya MP Pas

Akta 355 hantu ke apa? tanya MP Pas

 

Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) menganggap pindaan Akta 355 tidak harus menimbulkan pertikaian banyak pihak memandangkan peruntukan tersebut memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah di negeri-negeri dalam kes jenayah syariah

“Tidak timbul persoalan terhadap pindaan Akta 355. Hantu ke apa? Sebab semua orang takut Akta 355.

“Kalau kita tidak tahu Akta 355 tapi takut dengan 355 sampai macam-macam ugutan, saman dan sebagainya seolah-olah kita takut hantulah. Kita takut tapi kita tidak tahu apa itu hantu dan bagaimana rupanya,” bidasnya semasa perbahasan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) hari ini.

Terdahulu, peguam itu menjelaskan tentang pembahagian akta yang memberi kuasa terhadap fungsi mahkamah di Malaysia.

“Mahkamah Rendah di negara ini iaitu Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret ada akta yang memberi kuasa kepada kedua-dua mahkamah ini iaitu Akta Mahkamah Rendah 1948.  

“Akta ini memberi kuasa kepada Mahkamah Sesyen di dalam Seksyen 64. AKta Mahkamah Majistret di dalam Seksyen 87.

“Yang kedua untuk Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan yang juga Mahkamah Sivil ada juga undang-undang yang memberi kuasa kepada mahkamah ini.

“Seksyen 22 (2) kepada Mahkamah Tinggi, Seksyen 60 kuasa kepada Mahkamah Rayuan, Seksyen 92 (kuasa) kepada Mahkamah Persekutuan.

“Jadi, kalau Mahkamah Sivil ada undang-undang yang beri kuasa kepada dia, maka Akta 355 adalah undang-undang Persekutuan yang beri kuasa kepada Mahkamah Syariah,” ujarnya yang juga Setiausaha Agung Pas itu.

Sehubungan itu, Takiyuddin mengingatkan tiada apa yang harus dihairankan sehingga menjadi bahan pertikaian pemimpin masyarakat dan Ahli Parlimen terhadap Akta 355 yang khusus untuk masyarakat Islam.

“Tidak ada benda yang pelik (dengan) Mahkamah Syariah untuk orang Islam ini. Mahkamah Sivil undang-undangnya dua. Mahkamah Syariah undang-undangnya satu sahaja iaitu Akta 355 – Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Tahun 1965.

Sementara itu, Nasrudin Hassan (Pas-Temerloh) ketika mencelah berkata, masyarakat bukan Islam tidak dipaksa menerima pindaan Akta 355.

“Tiadalah kewajaran rasa bimbang dan curiga mana-mana pihak termasuklah non-Muslim terhadap pindaan Akta 355,” tegas Ketua Penerangan Pas, itu lagi.

TAGS