Akta 655 akan dipertimbang guna jika kerajaan negeri Selangor gagal atasi krisis air

Akta 655 akan dipertimbang guna jika kerajaan negeri Selangor gagal atasi krisis air

Akta Industri Perkhidmatan Air atau Akta 655 akan dipertimbangkan oleh kerajaan untuk mengambil alih kawalan operasi konsesi air di Selangor sekiranya krisis air di negeri itu gagal ditangani.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, bagaimanapun beliau berharap kerajaan Selangor dapat segera menyelesaikan perkara itu dengan menyatakan nilai yang sesuai untuk mengambi alih Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash).

Akta 655 boleh pakai atas nama keselamatan negara, jika situasi ini berterusan kerajaan persekutuan akan meneliti perundangan yang ada termasuk, penggunaan Akta 655.

“Anda tetapkan harga dan kerajaan bersedia untuk membantu anda jika tidak anda menyebabkan rakyat menderita, semua halangan dan catuan air yang berlaku adalah dari kerajaan Selangor yang menyebabkan perkara ini berlanjutan.

“Namun saya mahu elakkan guna akta ini kerana kami harapkan ada keputusan,” katanya dalam soalan balas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bebas-Bandar Tun Razak) mengenai cadangan penggunaan Akta 655 yang memberi peluang kerajaan persekutuan menyelesaikan perkara tersebut sehingga selesai dan memberi semula kuasa kepada kerajaan negeri.

Menjawab soalan asal Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Besar) mengenai status penstrukturan semula air Selangor, beliau berkata kelewatan pengambilalihan itu berlaku berikutan kegagalan kerajaan Selangor menawarkan nilai pengambilalihan Splash.

“Pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian penstrukturan air terpaksa lanjutkan tempoh pengambilalihan Splash sehingga tiga kali iaitu pada kali pertama selama enam bulan sehingga 6 April 2017, kali kedua enam bulan sehingga 5 Oktober 2017 dan ketiga selama sembilan bulan sehingga 4 Julai 2018,”ujarnya.

5.5
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 3.0