Malaysia Dateline

Akta Anti Lompat Parti perlu diwujudkan bagi mengawal pengkhianatan

Undang-undang Anti Lompat Parti perlu diwujudkan bertujuan untuk mengawal agar tiada sebarang pengkhianatan dibuat oleh ahli-ahli parlimen.

Pengerusi Biro Undang-undang Parti AMANAH Negara (KANUN), Dr Zulqarnain Lukman berkata, jika undang-undang itu tidak dilaksanakan, maka mentaliti ‘tawar-menawar’ akan berlaku.

“Kalau tidak buat begitu (tidak melaksanakan undang-undang), akan terjadinya ‘bargaining mentality’ dalam kalangan ahli-ahli parlimen.

“Yang dituntut tak dapat tuntut jadi menteri, dia pun nak lompat ke sebelah sana balik. Jadi kerajaan yang ada pun jatuh, sekali gus boleh membuat (menyebabkan) ketidakstabilan politik dalam negara yang akhirnya akan membuatkan pelabur menjauhkan diri daripada negara yang tidak stabil,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keperluan mewujudkan undang-undang untuk menghalang wakil rakyat daripada melompat parti.

Mengambil contoh Kelantan, Dr Zulqarnain berkata, sebelum ini negeri tersebut pernah membuat Enakmen Anti Lompat Parti.

Namun katanya, Mahkamah Persekutuan telah mengatakan bahawa negeri tidak boleh membuat undang-undang sedemikian kerana berada di luar bidang kuasa.

“Sekiranya undang-undang tersebut boleh dibuat di peringkat Persekutuan, ianya satu perkembangan yang bagus.

“Cuma apabila hendak membuat Undang-undang Lompat Parti ini, ianya mestilah diluluskan oleh Parlimen itu sendiri.

“Itu adalah bidang kuasa Parlimen yang ada dalam Perlembagaan di bawah Perkara 10 kerana hanya Parlimen sahaja yang boleh membuat undang-undang untuk menyekat kebebasan hak asasi,” jelasnya lagi.

Disebabkan polemik politik yang berlaku sejak kebelakangan ini, pentas politik tanah air juga pernah digemparkan dengan beberapa wakil rakyat mengisytiharkan diri mereka keluar daripada parti.

Kelmarin, Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasnul Zulkarnain bersama dua Adun Pakatan Harapan Perak mengumumkan keluar parti dan menjadi Adun bebas susulan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional di Perak.

Selain Hasnul, Adun Tronoh dan Buntong daripada DAP iaitu Paul Yong Choo Kiong dan A Sivasubramaniam turut menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu.

Pada 24 Februari lalu, Astro Awani pula melaporkan seramai 11 Ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar parti dan meninggalkan PH bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Mereka adalah Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Selain itu enam lagi ahli PKR yang keluar parti adalah, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju; Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.