Akta Antiberita Tidak Benar berkuatkuasa hari ini

Akta Antiberita Tidak Benar berkuatkuasa hari ini

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penguatkuasaan Akta Antiberita Tidak Benar bermula hari ini selepas mendapat kelulusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

“Sukacita saya maklumkan sebentar tadi saya dimaklumkan menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018 telah menerima perkenan Agong dan diwartakan hari ini, 11 April,” katanya di majlis sambutan Hari Wartawan Nasional 2017-2018.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 6 tahun dan denda RM500,000 jika sabit kesalahan.

“Berita tidak benar adalah musuh negara,” kata perdana menteri.

Dewan Negara meluluskan rang undang-undang itu 3 April lepas, dalam usaha kerajaan menangani penularan berita tidak benar.

Akta mentakrifkan berita tidak benar sebagai apa-apa berita, maklumat, data atau laporan yang sepenuh atau sebahagiannya tidak benar, sama ada dalam bentuk tulisan, visual, rakaman audio atau apa-apa bentuk lain yang berupaya mencadangkan perkataan atau idea.

Kerajaan berkata undang-undang sebelum ini tidak dapat mengawal penularan berita palsu secara berkesan berikutan perkembangan teknologi maklumat.

Pengamal undang-undang bagaimanapun berkata RUU itu tidak menambah nilai kepada undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan Akta Fitnah 1957.

Selain itu, wujud isu untuk menentukan apakah yang benar kerana mahkamah tertakluk kepada keterangan yang ada sahaja.

Najib berkata pentadbirannya hari ini tidak berhasrat menggunakan undang-undang itu untuk menyekat kritikan terhadap kerajaan, melihat kepada bermacam akhbar pro-pembangkang dan portal berita hari ini.

“Akhbar pro-pembangkang seperti Harakah, Roketkini dan Watan masih diterbitkan tanpa halangan termasuk portal berita yang tidak mesra kerajaan masih beroperasi.

“Ini bermakna kerajaan beri kebebasan bersuara, ternyata berbeza dengan rekod pemimpin utama pembangkang yang dahulunya pernah 22 tahun pernah memimpin negara,” katanya dipetik FMT.

CATEGORIES
TAGS