Akta AUKU mungkin dipinda, parti politik boleh buka cawangan di universiti

Oleh KIM SYAZIE

Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi bayangan bahawa parti politik bakal dibenarkan untuk membuka cawangan di universiti.

Namun, pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu dilakukan terlebih dahulu bagi membenarkan ia berlaku.

Katanya, pelbagai pindaan telah dilakukan pada akta itu yang meliputi aspek kegiatan pelajar dan urus tadbir universiti.

Pelajar di institut pengajian tinggi juga telah diberikan pelbagai kelonggaran untuk menceburkan diri dalam bidang politik.

Oleh yang demikian, tidak mustahil sekiranya suatu hari nanti parti politik bakal dibenarkan untuk membuka cawangan di institusi itu.

“Kita memberi kebebasan kepada pelajar untuk menyertai mana-mana parti politik termasuk menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya.

“Semua perkara itu telah dilonggarkan dan kemungkinannya termasuk perkara-perkara yang dicadangkan (penubuhan cawangan parti politik di universiti),” katanya.

Khaled Nordin berkata sedemikian di Dewan Rakyat, hari ini bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin sama ada KPT akan memberi kelonggaran tersebut.