Malaysia Dateline

Akta baharu beri sinar buat penggiat seni muzik tempatan

Pewujudan akta khusus bagi pembangunan industri muzik tempatan diyakini dapat memberi suntikan positif kepada perkembangan industri berkenaan dalam negara.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez berkata penggubalan akta itu adalah langkah yang cukup lama dinanti-nantikan oleh penggiat seni muzik tempatan yang ketika ini tidak mempunyai sebarang akta khusus untuk mengawal selia industri berkenaan.

“Saya mengharapkan ada satu struktur baharu dalam industri seni muzik tempatan yang merangkumi pembangunan dan bantuan seperti dalam soal pembayaran royalti, cetak rompak dan masalah hak cipta,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan (The Sun) yang melaporkan kerajaan sedang merangka akta baharu dalam industri muzik tempatan sepertimana Akta Finas 1981.

Akta itu dikatakan bakal menangani isu-isu yang melanda industri muzik merangkumi cetak rompak, hak cipta dan bayaran royalti.

Mahukan sesuatu yang lebih baik, Freddie berharap akta baharu itu dapat membantu penggiat seni muzik tempatan yang tidak mendapat tempat dalam industri.

“Semua sedia maklum, kita ada penyanyi yang berbakat besar malah lagu yang dibawa juga begitu bagus namun mereka tiada peluang di dalam industri. Syarikat rakaman pula kurang menerbitkan album manakala radio swasta bersikap ‘pilih bulu’ dalam memutarkan lagu.

“Jadi, kita kena cari jalan penyelesaian yang baik kepada permasalahan ini agar bakat mereka dapat diketengahkan,” katanya.

Pada masa sama, Freddie berharap akta baharu yang bakal digubal itu juga dapat membantu ramai penggiat seni mendapatkan dana atau bantuan bagi meneruskan kerjaya mereka dalam bidang ini.

“Sebagaimana industri perfileman mempunyai Akta Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) 1981 yang merangkumi pembangunan dan bantuan, begitu juga dengan akta baharu ini,” katanya.

Penyanyi, Asmidar atau nama sebenarnya, Norhasmidar Ahmad berharap agar akta baharu yang bakal digubal nanti akan mengukuhkan lagi industrI seni muzik tempatan.

“Ini adalah platform yang baik buat penggiat seni muzik tempatan apatah lagi sebelum ini kita tiada apa-apa akta atau badan khas seperti ini yang boleh membantu kami,” katanya.

Penyanyi popular, Liza Hanim pula melihat kewujudan akta baharu itu akan membantu mengawal selia pembayaran royalti kepada artis termasuklah pelbagai perkara yang berkaitan.

“Apabila ada penglibatan dari kerajaan, ia akan menjadi lebih  teratur dan tersusun (pembayaran royalti) contohnya kita akan dapat penyata bulanan dari setiap majlis atau persembahan yang dijayakan,” katanya.– BERNAMA