Akta Hasutan 1948: KDN tidak boleh membelakangkan keputusan kabinet, kata Mohd Azis

Akta Hasutan 1948: KDN tidak boleh membelakangkan keputusan kabinet, kata Mohd Azis

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jaman membidas tindakan pihak yang mempersoalkan Akta Hasutan 1948 yang masih diteruskan sehingga dipinda atau dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, pemansuhan akta tersebut belum dimuktamadkan kerana ia perlu melalui proses di Dewan Rakyat dan Dewan Negara sama seperti langkah untuk memansuhkan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018.

“Ingin ditegaskan disini, tidak ada arahan daripada pihak pimpinan kerajaan supaya akta tersebut digunakan ke atas mana-mana individu tertentu seperti didakwa.

“Malah kerajaan Pakatan Harapan tidak menggalakkan supaya akta tersebut digunakan.

“Kerajaan Pakatan Harapan komited dalam manifesto semasa pilihan raya lalu dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat, namun setiap keputusan perlu melalui proses dan prosedur sebuah pentadbiran kerajaan,” ujarnya.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Penasihat Lawyers for Liberty (LFL), N Surendran menerusi Twitternya berkata, ahli Parlimen Warisan itu tidak sesuai menjadi timbalan menteri, apabila bercakap mengenai SOP polis dan menyarankan agar Azis meneliti semula manifesto PH.

Mohd Azis berkata sebagai seorang timbalan menteri yang menjawab soalan media penjelasan yang beliau berikan tidak bermaksud beliau bersetuju undang-undang itu digunakan terhadap mana-mana individu.

“Ketika soalan diajukan wartawan sama ada Akta Hasutan masih ada, saya hanya menjelaskan ia masih wujud. Sekiranya pihak yang mengkritik berada ditempat saya, apakah jawapan yang akan diberikan ketika wartawan ajukan? Adakah boleh anda membuat keputusan membelakangi Kabinet?

“Pihak polis hanya menjalankan tugas selepas terdapat banyak laporan dibuat. Sekiranya tiada tindakan diambil pula, dibimbangi persepsi umum terhadap pihak polis juga akan terkesan dan dituduh tidak menjalankan tugas mereka.

“Sebarang bentuk tindakan undang-undang yang diambil pihak polis adalah berdasarkan penelitian mereka sendiri selepas menimbang daripada pelbagai sudut perundangan,” ujarnya.

Mohd Azis sebelum itu mengulas penahanan Azman Noor Adam, adik kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam.

Beliau  dilaporkan berkata, polis sekadar mematuhi SOP ketika menahan Azman, Selasa lalu, selepas menerima laporan mendakwa beliau memuat naik sekeping gambar yang menghina Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di media sosial.

Semalam Dr Mahathir tidak bersetuju dengan tindakan dikenakan ke atas Azman.

 

 

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS