Akta Hasutan: Mahkamah Persekutuan tetapkan 17 Julai dengar rayuan kerajaan

Akta Hasutan: Mahkamah Persekutuan tetapkan 17 Julai dengar rayuan kerajaan

Mahkamah Persekutuan menetapkan 17 Julai untuk mendengar rayuan kerajaan terhadap keputusan penting dibuat Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Seksyen 3 (3) Akta Hasutan 1948 adalah tidak berperlembagaan.

Peguam Latheefa Koya yang mewakili Anggota Dewan Undangan Negeri Sri Muda Mat Shuhaimi Shafiei, memberitahu pemberita bahawa Timbalan Pendaftar Syahrin Jeli Bohari menetapkan tarikh itu semasa kes itu dikemukakan untuk pengurusan kes hari ini.

Dalam keputusan penting pada 25 November tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Lim Yee Lan membenarkan rayuan Mat Shuhaimi untuk mengisytiharkan Seksyen 3(3) adalah tidak sah.

Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Seksyen 3 (3) tidak sah kerana ia bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kebebasan rakyat Malaysia untuk bersuara dan memberikan pandangan.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu bermakna pihak pendakwaan perlu membuktikan bahawa seseorang itu mempunyai niat sebelum boleh disabitkan bagi menghasut.

Pada 22 Februari tahun ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan kerajaan untuk merayu terhadap keputusan itu dan menerima tiga soalan perundangan dicadangkan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang mengetuai rayuan kerajaan, untuk diteliti dan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan pada pendengaran rayuan itu.

Antara soalan yang akan ditentukan Mahkamah Persekutuan adalah sama ada Seksyen 3(3) Akta Hasutan bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, tidak sah dan tidak mempunyai sebarang kesan dalam undang-undang.

Pada September 2014, Mat Shuhaimi, 48, memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi memohon mahkamah mengisytiharkan Seksyen 3 dan 4 Akta Hasutan adalah tidak sah kerana mendakwa peruntukan itu mencabuli hak kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 4 membabitkan hukuman bagi kesalahan itu.

Beliau kalah dalam kesnya di Mahkamah Tinggi, mendorongnya merayu ke Mahkamah Rayuan.

TAGS