Akta hasutan masih relevan bagi kekalkan perpaduan

Akta hasutan masih relevan bagi kekalkan  perpaduan

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengekalkan Akta Hasutan 1948 kerana ia memainkan peranan utama dalam memelihara keharmonian dan ketenteraman awam.

Beliau menegaskan bahawa undang-undang itu masih relevan dengan suasana masyarakat negara yang terdiri daripada berbilang kaum, bangsa dan agama.

Beliau meminta masyarakat, terutama para pemimpin, untuk belajar daripada sejarah di sebalik pelbagai sebab undang-undang itu digubal termasuk untuk melindungi kedudukan Raja-Raja Melayu.

“Anda boleh mempersoalkan pelaksanaan akta tersebut tetapi tidak boleh mempertikaikan undang-undang itu sendiri. Anda perlu membaca dan memahami Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Mohammed Hanif, yang memegang jawatan Ketua Polis Negara selama 20 tahun dari 1974 hingga 1994, berkata demikian pada sidang media bagi mengumumkan pelancaran Siri Syarahan ‘Kepimpinan Dr Mahathir Mohamad’ anjuran Institut Pengurusan Malaysia (MIM),semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada ia adalah idea yang baik untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 susulan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, minggu lalu.

Pada Ahad, kerajaan mengumumkan moratorium beberapa undang-undang yang sedang dalam kajian untuk dimansuhkan sebelum ini ditarik balik berikutan insiden di kuil berkenaan.

Antaranya adalah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012 (Akta 747), Akta Pencegahan Keganasan (POTA), Akta Pencegahan jenayah 1959 (POCA) dan Akta Hasutan 1948.

Loading...

Mohammed Hanif, yang juga pengerusi MIM, juga menegaskan semua pihak perlu menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pendapat dan masalah dan tidak meletakkan undang-undang di tangan sendiri kerana ini boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Isu kuil berkenaan adalah isu perundangan…jangan biarkan kumpulan pengacau membuat hal. Biarkan mahkamah melakukan tugas mereka. Sebarang rasa tidak puas hati boleh merujuk kepada mahkamah dan buat mengikut undang-undang,” katanya.

Setakat ini, polis telah menangkap 68 individu bagi membantu siasatan berhubung rusuhan dan pergaduhan pada Isnin dan Selasa minggu lalu berpunca daripada isu perpindahan tapak kuil itu.-BERNAMA.

— BERNAMA