Akta Kerja 1955 pindaan 2022 yang perlu diketahui

Oleh ARIF ATAN

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar baru baru ini mengesahkan bahawa Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2023.

Penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 ini diwujudkan untuk menjaga kebajikan pekerja serta memberi kelonggaran dalam tempoh bekerja yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 September lepas.

Liputan akta ini terpakai kepada semua pekerja sektor swasta di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Tujuan pindaan ini dibuat adalah bagi meningkatkan dan menambahbaik perlindungan dan kebajikan pekerja di negara ini serta memastikan peruntukan undang-undang perburuhan di negara ini selaras dengan standard antarabangsa.

Oleh yang demikian, semua pekerja sektor swasta yang memasuki kontrak perkhidmatan wajar dilindungi dan beroleh manfaat sepertimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955.

Sebagai pekerja dan majikan, anda perlu mengambil cakna tentang Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 agar tiada salah faham yang wujud bagi kedua-dua belah pihak.

Pindaan akta ini antaranya meliputi:

  1. Waktu kerja seminggu dihadkan kepada 45 jam

Sebelum ini, tempoh waktu bekerja adalah dari 48 jam. Namun, pindaan dibuat bertujuan untuk menjaga kebajikan pekerja. Malah, pekerja boleh bekerja dengan waktu yang fleksibel. Oleh itu, keputusan daripada kerajaan sebulat suara untuk mengurangkan tempoh waktu bekerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu.

  1. Cuti bersalin dipanjangkan 98 hari

Kerajaan sudah pun sebulat suara untuk melanjutkan cuti yang pada awalnya 60 hari kepada 98 hari. Malah, elaun bersalin juga dilanjutkan kepada 98 hari.

  1. Cuti sakit dan hospitalisasi yang lebih baik

Berdasarkan Akta (Pindaan) 2022 ianya digabungkan iaitu cuti sakit berbayar adalah selama 14, 18 atau 22 hari bersama dengan cuti hospitalisasi 60 hari.

  1. Cuti Paterniti 7 hari

Cuti Paterniti adalah cuti untuk suami membantu para isteri yang baru melahirkan anak. Dahulu, cuti paterniti hanya diberikan selama 3 hari tetapi selepas pindaan cuti paterniti dinaikkan sebanyak 7 hari dengan syarat pekerja tersebut hendaklah bekerja dengan majikan selama 12 bulan.

  1. Pengiraan gaji tidak lengkap bulan

Pengiraan gaji bagi tidak lengkap bulan adalah berdasarkan ‘calendar of month’ dan bukannya 26 hari.

  1. Hak wanita hamil tetap di jawatan yang sama

Tidak boleh sesuka hati memecat atau membuang pekerja wanita yang hamil sekiranya mereka tidak melanggar tiga perkara yang boleh membuat penamatan iaitu melanggar syarat kontrak kerja, masih melakukan tindakan salah laku selepas diberikan surat amaran dan syarikat terpaksa ditutup akibat muflis.

  1. Notis kesedaran gangguan seksual

Majikan diwajibkan untuk menampal notis tentang kesedaran gangguan seksual di tempat kerja.

  1. Kelulusan awal Ketua Pengarah dalam penggajian pekerja asing

Pindaan turut mewajibkan keperluan mendapatkan kelulusan penggajian pekerja asing daripada Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Antara pindaan utama yang lain adalah pembayaran upah melalui bank/cek dan tunai, larangan diskriminasi dalam pekerjaan, larangan buruh paksa, kontraktor untuk buruh mesti mengadakan kontrak dengan prinsipal, anggapan pekerja dan majikan, kuasa tambahan Mahkamah Majistret dan pelanjutan tempoh rayuan dan tempoh perantisan minimum enam bulan dan maksimum 24 bulan.

Majikan tidak boleh memberikan sebarang alasan menjelang pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 pada 1 Januari ini kerana perkara tersebut sudah dikaji dan dirunding secara bersama seba­nyak 18 kali sejak 2018.

BACA JUGA Gaji minimum kurang dari 5 orang pekerja ditangguhkan kuat kuasa Jan 2023