Akta Keselamatan dan Kesihatan  Pekerjaan 1994 dipinda

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dipinda

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 akan dipinda bagi memperkemaskan lagi peraturan sedia ada mengikut keperluan semasa, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Pindaan yang dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Oktober ini akan menjadi “game-changer” terhadap keberkesanan penguatkuasaan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta pematuhan oleh pihak majikan dan pekerja, katanya.

Pindaan itu juga akan memperkasakan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dalam memberikan latihan, khidmat nasihat serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada kerajaan dan pihak industri.

“Ruang lingkup akta ini akan lebih menyeluruh dan kita menyediakan pemboleh-ubah supaya kita dapat membuat peraturan yang lebih spesifik untuk satu keadaan tertentu apabila ada keperluan. Kita juga melihat penalti yang akan ada perubahan besar. Pindaan ini juga akan memberi perlindungan kepada petugas media,” katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH 2018) kali ke-21, hari ini.

Mahfuz, yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berkata, melalui pindaan itu juga, kementerian akan berusaha menerapkan kesedaran mengenai penguatkuasaan kendiri dalam kalangan majikan dan pekerja memandangkan JKKP tidak mempunyai tenaga penguatkuasa yang mencukupi untuk membuat pemeriksaan di seluruh negara.

Mengakui pihak kementerian masih tidak berpuas hati terhadap kadar kemalangan tempat kerja di negara ini, katanya kesedaran mengenai penguatkuasaan kendiri terhadap keselamatan industri dalam kalangan masyarakat masih rendah.

“Majikan jangan hanya fikir untuk mendapat keuntungan dan dia tidak membuat laporan atau tidak mengambil kira aspek keselamatan di dalam organisasinya kerana kemalangan industri itu mungkin boleh berlaku kepada dirinya sendiri.

“Pekerja juga perlu berani tampil membuat aduan jika majikannya tidak menyediakan perlindungan keselamatan yang baik. Hari ini ramai tidak berani kerana takut hilang kerja,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata Kementerian Sumber Manusia meletakkan sasaran untuk mengurangkan kadar kemalangan industri kepada 2.53 bagi setiap 1,000 pekerja dan kadar kematian kepada 4.36 bagi setiap 100,000 pekerja menjelang 2020.

Mahfuz berkata pada tahun lepas, kadar kemalangan di tempat kerja bagi setiap 1,000 pekerja meningkat kepada 2.93 berbanding 2.88 pada 2016 dan 2.81 pada 2015.

Katanya kadar kematian akibat kemalangan industri juga meningkat kepada 4.90 bagi setiap 100,000 pekerja pada tahun lepas, berbanding 4.84 bagi setiap 100,000 pekerja pada 2016 dan 2015.

COMMENTS

Wordpress (0)