Malaysia Dateline

Akta khas lindungi warga emas bukti kerajaan lebih prihatin

Cadangan untuk mewujudkan Akta Khas Melindungi Warga Emas membuktikan betapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih prihatin dan peduli terhadap nasib warga emas yang ada dalam negara ini.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Wanita PKR Negeri Perlis, Bibi Faridah Ghulam Hyder selepas menyampaikan hadiah pertandingan tulisan khat serta pertandingan azan yang diadakan di SK Seri Tunjong, Beseri, Perlis semalam.

Bibi Faridah menyampaikan hadiah kepada pemenang tulisan khat yang diadakan di SK Seri Tunjong, Beseri, Perlis semalam.

Jelas beliau lagi, dengan adanya undang-undang sedemikian, ia akan dapat memberi pembelaan terhadap warga emas yang sering diabaikan dan didera.

“Dengan wujudnya undang-undang ini, sekaligus memperlihatkan betapa PH mempunyai kesedaran untuk membela nasib warga emas walaupun baru menerajui kepimpinan kerajaan.

“Secara tidak langsung, dengan adanya undang-undang tersebut, setidak-tidaknya isu pengabaian dan penderaan dapat dikurangkan.

“Malah ia menyerlahkan lagi kepedulian kerajaan sedia ada jika dibandingkan dengan kerajaan BN yang telah lebih lama memimpin sebelum ini, ” ujarnya.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah telah menyatakan bahawa kerajaan sedang melakukan kajian bagi mewujudkan akta khas bagi melindungi hak warga emas dalam negara ini.

Sejajar dengan itu Wan Azizah juga sebelum ini menyatakan undang-undang tersebut diperlukan memandangkan isu pengabaian dan penderaan terhadap warga emas semakin meningkat.

Juga dilaporkan satu kajian dan pendekatan akan dilaksanakan dengan melantik Universiti Malaya sebagai perunding untuk menjalankan kajian berkaitan dalam tempoh 15 bulan.

Adalah difahamkan sejumlah 139,000 warga emas menerima bantuan kerajaan melalui skim Bantuan Orang Tua atau BOT tahun lalu.

Manakala jumlah tersebut meningkat kepada 135,000 penerima pada tahun 2017 jika dibandingkan dengan jumlah penerima sebanyak 133,000 bagi tahun sebelumnya.