Malaysia Dateline

Akta mengenai pembiayai politik akan digubal, kata Mahathir

Satu akta mengenai pembiayaan politik yang tidak memberi keuntungan peribadi kepada penderma akan digubal dalam usaha membendung rasuah, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan juga akan mengkaji sistem pembiayaan politik di negara-negara lain bagi mendapatkan amalan terbaik dalam pelaksanaan undang-undang tersebut.

“Di sesetengah negara, kerajaan memberi dana kepada parti-parti politik, saya rasa ia dilakukan di Jerman. Kita akan kaji sama ada hal serupa boleh dilaksanakan di sini.

“Selain itu, di Amerika Syarikat mereka mempunyai sistem pelobi dan mereka ini dibayar untuk mempengaruhi kerajaan untuk melaksanakan perkara tertentu untuk kepentingan mereka yang memberikan wang itu.

“Itu bagi kita di sini adalah rasuah. Ia tidak boleh diamalkan di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Perdana Putra, hari ini, lapor Bernama.

Sidang media itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, pembiayaan politik adalah perlu bagi parti-parti politik terutama untuk menghadapi pilihan raya yang pastinya memerlukan kos yang tinggi.

Bagaimanapun, agak sukar bagi mentafsirkan sesuatu derma politik sebagai rasuah ataupun sebaliknya.

“Anggota dan penyokong parti sepatutnya menyumbang kepada parti tetapi jika para penyokong dibenarkan menyumbangkan wang kepada parti, sudah tentu mereka mengharapkan balasan sekiranya parti yang mereka sokong menang dalam pilihan raya,” jelasnya.

Pada tahun lepas, kerangka awal Akta Sumbangan dan Per­belanjaan Politik (PDEA) telah dibentuk di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Paul Low Seng Kuan.

Bagaimanapun, akta tersebut tidak dibentangkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.