Akta mesin cetak akan dihapuskan, kata PM

Media cetak selepas ini tidak perlukan lesen lagi tetapi garispanduan.

Akta mesin cetak yang mengawal penerbitan media di negara ini besar kemungkinan akan dibatalkan bagi membolehkan media negara ini di bebaskan.

“Kita mungkin batalkan sistem lesen ini tetapi kita akan adakan garispanduan agar tidak ada mana-mana pihak yang melanggar batasan,” kata Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Mahathir, kerajaan Pakatan Harapan yang dipimpinnya mahukan kebebasan media diberikan di negara ini namun perlu ada hadnya.

“Kita mahukan kebebasan media tetapi setiap kebebasan ada hadnya. Tiada kebebasan tanpa had,” kata Mahathir dalam dialog dengan pengamal media Pakatan Harapan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan sedang mengkaji sekatan kepada kebebasan itu.

“Mana-mana yang buruk kepada negara akan dikaji,” katanya.

Bagi beliau, jika kebebasan diberikan tanpa had ia akan menyusahkan negara.

“Takkan kita boleh benarkan sesaorang memaki di muka orang lain dan apabila dimarah, dia kata itu kebabasan saya. Tak bolehlah macam itu,” katanya.

Mahathir juga tidak setuju dengan tindakan polis menahan seorang lelaki di Langkawi kerana menghina beliau melalui facebook.

“Saya sudah maklumkan kepada pihak polis berkenaan ini. Undang-undang ini akan dikaji apabila Parlimen bersidang kelak,” katanya dalam catatan di laman Twitter hari ini.

Dalam dialog hari ini, kata Mahathir, jika beliau tidak setuju dengan tulisan kepada peribadi beliau seperti itu, beliau perlu menjawabnya balik bukan meminta polis menangkapnya.

4.8
OVERALL SCORE
3 user votes x 6.3
CATEGORIES