Malaysia Dateline

Akta pemberi maklumat perlu dimantapkan, kata KP SPRM

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 perlu dimantapkan kerana terdapat beberapa isu tertentu yang memerlukan pemahaman yang jelas terutama mengenai definisi imuniti dan pemberi maklumat, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

Beliau berkata kadang-kadang orang mempunyai kecenderungan untuk keliru dengan definisi sebenar pemberi maklumat dan menambah SPRM sendiri mengkategorikan mereka yang tampil memberi maklumat kepada tiga kategori.

“Pertama, mereka hanya pemberi maklumat semata-mata, (kedua) orang yang membuat aduan iaitu pengadu, dan yang ketiga adalah seseorang yang memberi maklumat.

“Oleh itu, seseorang perlu menentukan kategorinya apabila dia tampil untuk membuat aduan dan ini adalah perkara yang perlu ditentukan dahulu,” katanya kepada media selepas program “Exclusive On Stage With Chief Commissioner”, di sini hari ini.

Latheefa berkata apabila seseorang mendedahkan sesuatu salah laku, ia tidak semestinya bermakna orang itu adalah pemberi maklumat kerana istilah pemberi maklumat merujuk kepada orang yang mungkin terkesan atau dihukum kerana maklumat yang dia berikan.

“Hanya mendedahkan seseorang tidak menjadikan orang itu sebagai pemberi maklumat,” kata beliau.

Mengenai imuniti, beliau berkata, jika mana-mana orang memohon perlindungan sebagai pemberi maklumat, SPRM sendiri akan memberi perlindungan.

“Apabila aduan dikemukakan kepada kami dan orang itu mendakwa adalah pemberi maklumat dan memerlukan perlindungan, maka kami pasti meminta komitmen daripada mereka untuk menyatakan dengan sebenarnya bahawa mereka memohon perlindungan sebagai pemberi maklumat tetapi selepas memberi komitmen, mereka tampil di luar sana dan mungkin menyatakan sesuatu yang lain (dan) itu tidak membantu (siasatan).

Latheefa mempunyai pandangan bahawa pada umumnya, meeka yang mahu membuat aduan mengenai salah laku mempunyai kecenderungan untuk keliru tentang peranan mereka.

“Kadang-kadang mereka mendakwa mereka adalah pemberi maklumat tetapi kemudian mereka mengubah fikiran … ada isu-isu yang SPRM perlu menanganinya iaitu mengimbangi idea untuk melindungi pemberi maklumat, serta keberkesanan aduan itu.

“Daripada segi perundangan, ada perkara tertentu yang perlu diperketatkan. Tetapi saya hanya boleh berkongsi pabdangan dan komen serta maklum balas tentang kekurangan kepada pembuat dasar,” kata beliau.-BERNAMA