Malaysia Dateline

Akta Perikanan 1985 perlu dipinda bagi memenuhi kehendak EU, kata Salahuddin

 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Salahuddin Ayub memaklumkan, terdapat keperluan untuk meminda Akta Perikanan 1985 bagi memenuhi kehendak Kesatuan Eropah (EU).

Beliau berkata, ‘illegal, unreported, unregulated (IUU) fishing’ merupakan obligasi antarabangsa bagi setiap negara anggota Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO).

“Sebagai negara anggota FA0, Malaysia bertanggungjawab memastikan kegiatan IUU tidak berlaku.

“Sekiranya perkara ini tidak ditangani, kemungkinan Malaysia boleh dikenakan sekatan eksport produk perikanan oleh mana-mana negara seperti mana yang berlaku di Thailand yang telah dikenakan ‘Yellow Card’ oleh EU.

“Oleh yang demikian, pindaan akta ini penting bagi memenuhi obligasi tersebut. Pindaan akta ini juga akan membuka peluang kepada Malaysia meneroka industri penangkapan ikan tuna bukan sahaja di Lautan Hindi, malah di mana-mana sahaja.

“Sebagai contoh, di lautan West Pacific dengan menganggotai The Western and Central Pacific Commision,” katanya dalam ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai turut memaklumkan, di Malaysia khususnya Sabah adalah lokasi berdekatan dengan lautan West Pacific.

“Indonesia juga merupakan ahli kepada The Western and Central Pacific Commission,” jelasnya lagi.

Terdahulu, dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019, Salahuddin turut menjelaskan beberapa isu di bawah tanggungjawab kementeriannya (mengikut klasifikasi) yang telah dibangkitkan oleh ahli parlimen.

Isu-isu yang dibangkitkan turut dirangkumkan berdasarkan persoalan iaitu pengurusan sumber, penguatkuasaan dan pelesenan serta kebajikan dan keselamatan nelayan.