Malaysia Dateline

Akta pindaan baharu heret pemandu mabuk pertama

Saw Yen Yew, 21, menjadi individu pertama di Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Majistret mengikut pindaan baharu Akta Pengangkutan Jalan berkaitan pemandu mabuk, yang berkuat kuasa 23 Oktober lalu.

Juruteknik komputer itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol, awal pagi kelmarin, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Saw didakwa menunggang motosikal melebihi kadar alkohol yang ditetapkan iaitu 125mg alkohol dalam 100ml darah, di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada jam 2.55 pagi, 25 Oktober lalu.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000, penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwaan Trafik Inspektor Erma Yanti Abdul Rahim manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Ismail Mohamad.

Ismail dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan jaminan yang setimpal memandangkan Saw baru mendapat pekerjaan sebagai juruteknik komputer, selain masih muda.

Rosnee kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 November depan sebagai tarikh sebutan semula.