Akta Profesion Guaman Syarie: Kemampuan peguam berpotensi jadi contoh negeri lain

Akta Profesion Guaman Syarie: Kemampuan peguam berpotensi jadi contoh negeri lain

Kemampuan para Peguam Syarie di Wilayah Persekutuan mendokong tujuan dan kehendak Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 bakal menjadi contoh kepada negeri lain untuk dijadikan model undang-undang dalam mengawal profesion tersebut.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berharap, para peguam khususnya di Wilayah Persekutuan, dapat memberi contoh yang baik sekali gus membuktikan bahawa perjuangan untuk mewujudkan akta tersebut bukanlah mainan di mulut, tetapi mampu dibawa dan dijalankan untuk mencerminkan keindahan Islam.

Seiring dengan tujuan akta tersebut, Naib Presiden AMANAH itu berkata, pentingnya para Peguam Syarie menyediakan diri mereka untuk merealisasikan kehendak dan tujuan akta berkenaan.

“Akta Profesion Guaman Syarie ini bukanlah kemuncak kepada sebuah perjuangan, tetapi ia adalah satu permulaan kepada era baharu kepeguaman syarie di negara ini.

“Permulaan baharu itu adalah dalam menuju ke tahap profesionalisme yang baru, iaitu bakal memberi kebaikan kepada masyarakat umum secara keseluruhan, selaras dengan prinsip “Rahmatan Lil ‘Alamin.

“Walaupun ini permulaan yang baik, tetapi ia tidak akan berakhir di situ kerana pertamanya akta ini akan diuji. Kedua, adalah akta ini benar-benar dapat memartabatkan Peguam Syarie sekali gus memperkukuhkan sistem perundangan syariah di negara kita.

“Apabila perkara ini sudah dibawa ke peringkat Parlimen pada persidangan yang lepas, kita anggap ia adalah permulaan yang baik tetapi ianya tidak berakhir di situ.

“Ini kerana yang pertamanya akta ini akan diuji,”katanya.

Kedua pula tentang persoalan adakah akta ini benar-benar dapat memartabatkan peguam kita, sekali gus memperkukuhkan sistem perundangan syariah negara.

“Semua itu akan diukur dengan keberkesanan akta ini dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama perasmian Bicara Pasca Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie WWP 2019 di Auditorium Dr Zainuddin Jaafar, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), di Kajang, hari ini.

Dr Arik Sanusi Yeop Johari

Program bicara itu dianjurkan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dengan kerjasama KUIS itu diadakan bertujuan, memberikan penerangan dan penjelasan berkaitan pasca RUU tersebut.

Satu forum bicara bertajuk ‘Persediaan dan Pengisian Pasca RUU Profesion Guaman Syarie WWP 2019’ turut diadakan dengan penyertaan enam ahli panel yang berlatar belakangkan perundangan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara, Dr Arik Sanusi Yeop Johari berkata, selepas ini pihak PGSM boleh berbincang untuk menetapkan tarikh kuat kuasa akta tersebut.

“Perbincangan boleh dilakukan bersama pihak Datuk Seri Dr Mujahid dan juga Jakim. Perkara pertama yang perlu dibuat adalah, mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk tarikh kuat kuasa akta itu.

“Jika penyeragaman akta tersebut hendak dibuat di negeri-negeri lain, ia boleh dilakukan melalui jawatankuasa teknikal undang-undang syarak dan sivil.

“Kebiasaanya, kami akan membawa cadangan ini dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI)

“Kita akan dapatkan pandangan daripada MKI seterusnya membawa perkara itu kepada Majlis Raja-Raja.

“Kemudian kita akan bawa model tersebut ke semua Majlis Agama Islam Negeri untuk mendapatkan persetujuan mereka,” katanya kepada Malaysia Dateline.