Akta Sabotaj Ekonomi: Penting dilaksana untuk landskap sosio-ekonomi negara, kata MTEM

Akta Sabotaj Ekonomi: Penting dilaksana untuk landskap sosio-ekonomi negara, kata MTEM

Ahmad Yazid Othman

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menganggap Akta Sabotaj Ekonomi adalah satu langkah yang baik untuk masa depan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata, beliau berharap agar kerajaan melaksanakan indikasi yang lebih berfokus bersama semua pemegang taruh setelah hala tuju dan strategi dikenal pasti.

“Ianya adalah untuk mengukur tahap pencapaian sosio-ekonomi Bumiputera agar penambahbaikan dasar-dasar dan program-program kerajaan dapat dilakukan,” katanya pada sidang media hari ini.

Baru-baru ini, Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) menyatakan akan mengkaji kemungkinan memperkenalkan undang-undang sabotaj ekonomi negara bagi mengelakkan amalan menjual kontrak atau menyewa permit kepada pihak lain terus berleluasa.

Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, individu yang masih meneruskan perniagaan secara Ali Baba juga boleh dianggap pengkhianat negara.

Sebelum ini cadangan GIACC itu disambut baik oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Azmin berkata kerajaan akan membincangkan dan sedang mempertimbangkan pelaksanaan cadangan yang dikemukakan oleh Abu Kassim bagi mengelakkan berleluasanya amalan menjual kontrak atau menyewa permit kepada pihak lain atau lebih dikenali sebagai ‘Ali Baba’.

Sehubungan dengan itu, Yazid menjelaskan, definisi sabotaj ekonomi perlu diperluaskan kepada sebarang aktiviti yang bertujuan untuk menggagalkan objektif utama dasar kerajaan.

“Akta ini akan dilaksanakan oleh sebuah Suruhanjaya Khas yang boleh memantau serta menyiasat mana-mana aktiviti yang dilihat untuk sabotaj ekonomi negara,”

“Fungsi Suruhanjaya tersebut juga akan menerima dan menganalisis laporan untuk organisasi kerajaan, entiti awam serta perusahaan sektor swasta supaya mengikut garis panduan yang disediakan,”

“Akta ini juga penting untuk memastikan jurang ekonomi antara bumiputera dan bukan bumiputera dapat diperkecilkan atau tiada lagi pada masa hadapan,” ujarnya

Menurutnya, jurang pendapatan isu rumah di antara bumiputera dan kaum cina meningkat sebanyak RM 30 ribu setahun sehingga tahun 2016.

“Ini amat membimbangkan kerana pemain-pemain ekonomi mungkin akan lebih terarah kepada bukan bumiputera kelak jika tiada tindakan diambil,” katanya.

Disebabkan itu, beliau menjelaskan betapa pentingnya Akta tersebut agar segala objektif polisi dapat dipatuhi, kepentingan sosio ekonomi negara dapat dipatuhi serta penghapusan identifikasi kaum di dalam sektor ekonomi juga dapat dihapuskan.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS