Malaysia Dateline

Akta Sabotaj Ekonomi pernah dicadang Perkasa digubal segera, desak Ibrahim Ali

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa kerajaan menimbang semula cadangan pertubuhan itu agar Akta Sabotaj Ekonomi digubal bagi menangani isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa terhadap aset kerajaan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Presidennya Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, dengan terbongkarnya skandal mengenai Tanah Felda di Jalan Semarak Kuala Lumpur beliau mendakwa, berkaitan penglibatan terancang pihak tertentu yang berkuasa terhadap Felda.

“Inilah yang dikata penyamun cerdik pandai yang menyalahguna ilmu yang diperolehi dengan memiliki ijazah untuk melakukan ‘jenayah moral’ terhadap kepentingan rakyat dan negara.

“Jika dilihat dari segi undang-undang nampak seolah-olah ianya halal namun nilai yang begitu besar jadi seperti nilai ‘5 sen’. Sebab itu sebelum ini Perkasa pernah mencadang dan meluluskan usul agar diwujudkan ‘Akta Sabotaj Ekonomi’ kaedah yang sama seperti Akta ISA yang sudah dimansuhkan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Dr Ibrahim Ali

Akta Sabotaj Ekonomi ini pernah dicadangkan pada Persidangan Tahunan Perkasa kali ke-8 pada September lalu. Ia bertujuan untuk menangani kes-kes besar terutama yang melibatkan rasuah.

Ini kerana katanya, selama ini berlaku apabila kes besar sering mendengar penahanan dibuat, direman dan dibawa ke mahkamah namun akhirnya kes itu menjadi sepi.

Justeru katanya, isu seperti Tanah Felda di Jalan Semarak,yang didedahkan oleh media arus perdana baru-baru ini boleh memberi ancaman kepada Keselamatan Negara.

“Bila rakyat marah, berbagai perkara dan angkara boleh berlaku yg akhirnya mengancam keamanan dan keselamatan negara.

“Melalui Akta Sabotaj Ekonomi Negara, mereka yang disyaki terlibat mengsabotaj ekonomi negara boleh ditahan serta-merta selama 30 hari tanpa mendapat perintah mahkamah.

“Penyiasatan lebih cepat dan berkesan jika yang disyaki disiasat sewaktu dalam tahanan sama saperti SOP Akta ISA dulu.

“Cara sekarang melalui siasatan penubuhan jawatankuasa atau mengheret mereka yg disyaki ke mahkamah untuk dapat perintah reman beberapa hari dan kemudian yang di syaki boleh dijamin, apa yang akan berlaku mungkin bukti boleh dimusnahkan, saksi pula kemungkinan dibeli atau disogok.

“Manakala tempoh prosesnya cukup panjang melalui mahkhamah dan menelan belanja yang besar dan kos yang terpaksa ditanggung oleh negara.

“Tidak mustahil, selepas siasatan dan kumpul bukti bertahun yang disyaki mati dulu sebelum didakwa atau selesai pendakwaan dan pembicaraan.

“Kemudian jika didapati bersalah, hukuman pula cuma 2-3 tahun penjara sahaja. Tidak berbaloi dan munasabah.

“Ada yg berkata apa salah masuk jail 5 -10 tahun, bila keluar ada ratusan juta.

“Maka hukuman rasuah dan penyalahgunaan mesti ada hukuman mandatori rotan, semua harta dirampas dan minumum penjara 10 tahun,” jelasnya.

Justeru katanya lagi, iktibar yang boleh diambil daripada isu Tanah Felda di Jalan Semarak itu adalah rakyat bersama untuk mendesak Kerajaan supaya mencari satu mekanisma undang-undang yg lebih berkesan dalam usaha mencegah rasuah dan penyalahgunaankuasa kuasa dengan diwujudkan segera Akta Sabotaj Ekonomi Negara atau apa jua kaedah yg difikir sesuai dan berkesan.