Malaysia Dateline

Akta Sosma akan dimansuhkan, kata Mahathir

Kerajaan akan memansuhkan undang-undang yang banyak menindas rakyat khususnya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Sosma yang diperkenalkan ketika pemerintahan bekas perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak membolehkan kerajaan menangkap sesiapa sahaja tanpa perlu dibawa ke mahkamah.

“Undang-undang Najib kalau dia tangkap tidak bawa ke mahkamah, kalau mati tiada inkuiri dan tiada tindakan yang boleh dikenakan kepada mereka yang membunuh individu yang ditangkap itu. Itu undang-undang yang diluluskan oleh Najib dan kami akan mansuhkan undang-undang itu,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam untuk mengumpul dana bagi Tabung Harapan anjuran Gabungan Persatuan Cina Klang di Shah Alam malam tadi.

Turut hadir isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Wilayah Khalid Abd Samad, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan Presiden gabungan persatuan itu, Datuk Tony Tang.

Menurut Dr Mahathir, kerajaan Pakatan Harapan sebaliknya akan berpegang kepada kedaulatan undang-undang dengan menguatkuasakan undang-undang yang akan melindungi rakyat.

“Rakyat akan dilindungi dengan undang-undang adil supaya apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh mereka jika ada, akan ditentukan oleh mahkamah…mahkamah akan tentukan salah atau tidaknya seseorang itu,”katanya.

Sosma diluluskan Dewan Rakyat yang memperuntukkan langkah-langkah khas bagi membendung aktiviti yang dianggap memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Sosma memberi kuasa kepada anggota keselamatan menangkap seseorang tanpa waran, menahannya orang berkenaan selama 24 jam bagi tujuan siasatan, dan melanjutkan tempoh tahanan orang berkenaan untuk tempoh tidak melebihi 28 hari. Jaminan tidak boleh diberikan dan hendaklah ditahan sehingga semua rayuannya di mahkamah dibereskan.

Antara yang ditahan di bawah Sosma ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, yang ditahan selama 11 hari kerana peranannya dalam tunjuk perasaan Bersih 5 pada November 2016.

Ia juga digunakan terhadap penyokong kuat Dr Mahathir, Datuk Khairuddin Abu Hassan kerana peranannya melaporkan skandal 1MDB kepada pihak berkuasa asing.