Aktifkan semula MPPK, rakyat harap sertakan guru

Oleh ARIF ATAN

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek membuat keputusan untuk mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi menyumbang idea dan pandangan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dalam merangka serta menambah baik hala tuju pendidikan negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, akan komited dalam mengaktifkan semula MPPK untuk membantu KPM.

“Hari ini saya diberi taklimat oleh urus setia MPPK berkaitan proses dan perkara penting dalam hal pelantikan ahli.

“Saya komited untuk mengaktifkan semula MPPK agar dapat membantu KPM dalam memberikan idea dan pandangan serta merangka dan menambah baik hala tuju pendidikan negara,” katanya dalam hantaran Facebook.

Tambahnya juga, kumpulan pakar bidang pendidikan ini juga akan bersama-sama pasukan KPM dalam memberikan nasihat dalam memikirkan kesinambungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia pasca 2025.

Sebelum ini media melaporkan KPM akan mengaktifkan semula MPPK seperti yang termaktub di bawah Akta Pendidikan 1996.

Majlis berkenaan akan dianggotai 15 ahli terdiri pemegang taruh dalam bidang pendidikan seperti aktivis, guru, bekas guru dan ahli akademik.

Pengguna Facebook, Wan Afifah Wan Ghazali dalam hantaran tersebut mengharapkan agar guru terpilih untuk menyertai MPPK kerana mereka lebih berpengalaman bersama murid-murid.

“Diharap MPPK dapat dipilih daripada kalangan guru yang masih berkhidmat di sekolah sekarang kerana mereka yang bergelumang dengan perit jerih mendidik murid dan merekalah pelaksana segala dasar dasar sebelum ini. Maka mereka lebih merasai pro and kontra setiap dasar.

“Elakkan lantik individu yang hanya penuh dengan teori sedangkan tidak bergelumang dan tidak menjadi pelaksana dasar dasar kerajaan sebelum ini,” ujar wanita tersebut di ruangan komen.

Perkara sama turut diutarakan oleh pengguna Facebook, Sinawati Zain yang mahukan guru sekolah rendah dan menengah untuk bersama dalam MPPK.

“Bagi saya pilihlah daripada kalangan guru kerana mereka yang lebih mengetahui dan memahami sepenuh tentang pendidikan di sekolah.

“Lantiklah juga daripada kalangan guru dari pelbagai subjek, rendah dan menengah. Pilihlah orang yang boleh suarakan kebaikan bukan pak turut yang mengiyakan cadangan orang atasan,” katanya.

Antara yang akan bekerjasama untuk melaksanakan inisiatif berkenaan termasuk Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) serta Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKM).