Malaysia Dateline

Aktivis alam sekitar tuntut kerajaan Kelantan perjelas pengurusan hutan terkini

Ketika ini kebanyakan kenyataan yang diberi oleh pimpinan kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan berhubung pengurusan sumber hutan di negeri itu adalah terlalu umum, mengelirukan dan boleh dipersoal.

Pertama, sekiranya negeri Kelantan komited untuk memastikan semua kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) diurus sepenuhnya di bawah amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) dengan mematuhi kuota Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan mengamalkan Sistem Tebangan Memilih (SMS), mengapakah pensijilan ‘Malaysian Criteria and Indicators for Sustainable Forest Management’ (MC&I) dibawah Skim Pensijilan Kayu Balak (MTCS), Unit Pengurusan Hutan (UPH) negeri Kelantan digantung sejak 2016 sehingga sekarang.

Adakah pensijilan bagi UPH negeri Kelantan digantung kerana mengusahasil melebihi kuota CTT dan melaksana pembangunan ladang hutan (ladang monokultur) di kawasan HSK yang mengamalkan kaedah pengusahasilan SMS?

Penggantungan pensijilan di bawah MTCS adalah salah satu petunjuk bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai dasar dan iltizam untuk mengurus dan mengusahasil sumber hutan secara mampan.

Kedua, pihak berkuasa negeri dan jabatan perhutanan negeri menyatakan negeri Kelantan hanya melaksanakan pengusahasilan secara SMS sahaja tetapi tidak menyentuh langsung pengusahasilan secara tebang habis berskala besar untuk tujuan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dalam kawasan HSK.

Masyarakat umum tidak mempersoal kegiatan pengusahasilan dilakukan secara sah atau tidak sah, malah tidak juga menafikan hasil hutan adalah salah satu pendapatan kepada negeri. Tetapi masyarakat umum tidak boleh menerima kegiatan pengusahasilan di negeri Kelantan dieksploitasi secara ‘rakus’.

Kerakusan kegiatan pengusahasilan di negeri Kelantan bertambah parah apabila hampir 28% keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri tersebut dizonkan untuk tujuan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur.

Malah, perjanjian persefahaman antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat baru-baru ini untuk melaksana pembangunan ladang monokultur ‘secara lestari’ bercanggah dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-79 yang telah membuat ketetapan berhubung persetujuan secara prinsip pelaksanaan monatorium kelulusan baharu penubuhan ladang hutan dalam kawasan HSK.

Itu tidak termasuk kegiatan perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan HSK. Pengusahasilan secara tebang habis untuk tujuan melaksana pembangunan ladang monokultur, perlombongan dan pengkuarian berskala besar dalam kawasan HSK memusnahkan litupan asal (hutan asli).

Malah terdapat juga kawasan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur merupakan kawasan Rangkaian Ekologi ‘Central Forest Spine’ (CFS) yang perlu dipelihara dan dilindungi.

Pemusnahan litupan hutan asal memberi impak terhadap hidrologi hutan apabila permukaan tanah terdedah kepada kadar curahan hujan yang tinggi serta menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas.

Hutan asli adalah aset yang sangat penting kerana salah satu fungsi dirian pokok dan tumbuhan ialah mampu menadah curahan hujan manakala reputan di lantai hutan melindungi tanah daripada impak secara terus curahan hujan.

Ketiga, kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar bahawa keluasan HSK di negeri Kelantan sebenarnya melebihi keluasan hutan pengeluaran adalah mengelirukan seolah-olah HSK dengan hutan pengeluaran adalah status tanah yang berbeza.

Berdasarkan Seksyen 7, Akta Perhutanan 1984 (Akta 313), pihak berkuasa negeri boleh mewartakan sesuatu kawasan tanah sebagai HSK manakala Hutan Pengeluaran adalah salah satu pengelasan HSK berdasarkan Seksyen 10(1)( a) Akta yang sama.

Seterusnya, apakah status terkini perdagangan kredit karbon melibatkan 25% daripada keluasan kawasan berhutan di negeri Kelantan yang tidak mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada Kerajaan Persekutuan.

Oleh itu saya sebagai aktivis alam sekitar mengulangi gesaan agar kerajaan negeri Kelantan dapat mempertimbang untuk menghenti dan tidak meluluskan lagi apa sahaja kegiatan yang berisiko impak di KSAS terutama dalam kawasan HSK.

Saya juga berharap kerajaan negeri Kelantan dan pihak-pihak berkuasa berkaitan mematuhi dan mengguna pakai racangan pemajuan terutama RFN dan lain-lain dasar yang berkaitan disamping menguatkuasakan peruntukan undang-undang sedia ada.



Aktivis Alam Sekitar;
Pegawai Lapangan, Sahabat Alam Malaysia (SAM);
Penasihat, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA)