Aktivis antarabangsa terkejut Kelantan tiada pembangunan warisan

Aktivis antarabangsa terkejut Kelantan tiada pembangunan warisan

 

 

Sebagai sebuah negeri yang mempunyai khazanah sejarah dan warisan flora dan fauna, Kelantan sepatutnya ke depan membangunkan pelancongan warisan dan ekotourism yang kini menjadi pilihan utama pelancongan dunia sebaliknya usaha itu sedikit dilakukan kerajaan negeri Kelantan.

Dr. Mukhlis PaeiniAktivis antarabangsa warisan dan ekotourism Prof Dr Mukhlis Paeini dari Universiti Indonesia meluahkan rasa terkejut kerana  tapak warisan lama tidak dibangunkan.

“Dalam  itinari lawatan ke Kelantan, tapak warisan lama jelas tidak dibangunkan untuk disesuaikan dengan keperluan masa kini.

“Tapak warisan ini sepatutnya dilengkapkan dengan kemudahan baharu seperti penginapan, tempat makan dan akses jalan yang kondusif,” katanya ketika menyampaikan kertas kerja di program Seminar Pembangunan Sejarah, Ekotourism dan Budaya Kelantan di Kota Bharu semalam.

Menurutnya tapak-tapak warisan itu sendiri sepatutnya dibaiki atau dibina semula supaya dapat menggambarkan rupa bentuknya yang asal.

“Kelantan ada deposit alam yang luar biasa, Kelantan ada deposit kebudayaan yang luar biasa.

“Kelantan ada kekayaan sejarah yang panjang justeru itu menulis sejarah masa depan Kelantan jauh lebih penting untuk anak cucu kita.

“Perlu ada satu pengelolaan yang berkesinambungan kerana deposit sejarah Kelantan luar biasa besarnya,” katanya.

Menurutnya lagi kreativiti bukan diolah pada alat tetapi pada otaknya justeru itu perlu menulis sejarah dan mencipta sejarah untuk masa depan.

Prof Pudentia MPSSSementara itu aktivis pelancongan budaya Profesor Dr Pudentia MPSS yang juga membentangkan kertas kerjanya bertajuk pemuliharaan dan pembangunan budaya Kelantan menekankan kearifan lokal mesti menjadi keutamaan.

Beliau yang pernah menjadi staf tetap Unesco (Pertubuhan Pendidikan,Sains dan Kebudayaan) di bahagian kajian budaya kini giat membangunkan semula budaya tradisi masyarakat tempatan di Indonesia.

“Keutamaan Unesco kini adalah pada sumber lokal budaya sejarah yang antarabangsa perkongsiannya,” katanya.

Menurutnya di Indonesia beliau bersama NGO lokal merekabentuk pelbagai projek untuk menampilkan semula budaya tradisi yang telah hampir pupus.

“Di perkampungan nelayan misalnya kita memilih kampung khas supaya dibina semula cara hidup tradisi yang merangkumi semua aktiviti kehidupan.

“Mereka menggunakan semula alat-alat lama untuk menangkap ikan, menyediakan makanan-makanan tradisional yang dulu menjadi makanan harian mereka.

“Termasuk kanak-kanakpun disediakan dengan permainan-permainan yang menjadi cara hidup mereka suatu masa dulu,” katanya.

Dengan penampilan perkampungan seperti ini katanya, kita mempromosikan kawasan ini sebagai tempat pelancongan warisan bagi mereka yang ingin melihat sendiri cara hidup masa lampau.

“Projek-projek seperti ini kini amat popular dalam perbincangan-perbincangan antarabangsa dan banyak pihak bersedia memberi bantuan termasuk pihak Unesco sendiri,” katanya.

Turut membentangkan kertas kerja di seminar ini Prof Emeritus Dr Abdullah Zakaria Ghazali, Prof Dr Badarudin Mohamed, Dato’ Profesor Dr Anuar Omar Din dan Prof Dr Harun Daud.

Seminar ini dirasmikan Adun Salor Datuk Husam Musa.

TAGS