Aktivis anti rasuah India lancar mogok lapar

Aktivis anti rasuah India lancar mogok lapar

Aktivis sosial dan anti-rasuah India, Anna Hazare sekali lagi melancarkan mogok lapar menuntut penubuhan satu badan rasmi bebas (Lokpal dan Lokayukta) bagi mendakwa ahli politik dan penjawat awam yang melakukan rasuah.

Hazare, 81, memulakan mogok lapar di kampungnya di Ralegan Siddhi di daerah Ahmednagar, kira-kira 215 kilometer timur Mumbai.

“Saya berlapar bukan kerana parti atau orang, saya lakukannya untuk kebaikan negara,” katanya lapor agensi berita Xinhua.

Lokpal adalah badan pentadbiran pusat yang mempunyai bidang kuasa ke atas semua anggota parlimen dan kakitangan kerajaan persekutuan untuk kes rasuah, manakala Lokayuktas pula berfungsi di peringkat negeri.

Hazare dalam surat yang dihantar kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengatakan beliau melancarkan mogok kerana tuntutannya masih tidak dipenuhi.

Akta Lokpal dan Lokayukta digubal pada Disember 2013. Di bawah akta itu, kerajaan di peringkat pusat dan negeri perlu membentuk badan rasmi bagi menangani aduan berkaitan rasuah.

— BERNAMA