Aktivis bawa isu ‘Puncak Purnama’ ke Suhakam

Aktivis bawa isu ‘Puncak Purnama’ ke Suhakam

Sekumpulan seniman dan penggerak budaya hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) membantah perobohan arca Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal bertajuk Puncak Purnama atau Lunar Peaks pada 1 Julai lalu.

Kumpulan tersebut mahu Suhakam mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung perkara tersebut bagi membuka mata semua pihak supaya memberi penghormatan kepada seni apatah lagi karya seniman negara yang disifatkan sebagai ikon karya dan warisan negara.

Menurut jurucakap jawatankuasa sementara deklarasi Puncak Purnama Nur Hanim Khairuddin, pihaknya mengusahakan satu petisyen online dan offline untuk sama-sama memberikan sokongan terhadap bantahan tersebut dan setakat ini telah mengumpul 1,200 tandatangan orang ramai.

“Kami rasa perlunya kita teruskan dengan perjumpaan dengan pihak yang kami cadangkan dalam petisyen tersebut termasuk dengan Suhakam pada hari ini,” katanya sewaktu pertemuan dengan pihak Suhakam semalam.

Antara aktiviti yang dilakukan oleh aktivis seni tanah air  dalam usaha mendidik masyarakat dan pemimpin menghargai seni.Jawatankuasa tersebut turut melantik sembilan orang delagasi rasmi yang terdiri daripada tokoh seni budaya yang turut hadir ke Suhakam.

Beliau ialah Sasterawan Negara Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain); Patron seni Zain Azahari dan Valentine Willie; Sejarawan Seni Zainol Abidin Ahmad Shariff (Zabas); Sutradara dan patron seni U-Wei Saari; pelukis Long Thien Shih dan Saiful Razman; ahli keluarga Datuk Syed Ahmad Jamal (Anak) Syed Nabil Jamal; ahli keluarga Datuk Syed Ahmad Jamal (Isteri); dan Pengarah Eksekutif SUARAM (Suara Rakyat Malaysia) Sivan Doraisamy.

Memorandum yang diserahkan kepada Pesuruhjaya Suhakam Datuk Lok Yim Pheng itu mengandungi enam tuntutan antaranya mendesak supaya adanya campur tangan dan pendirian dari pihak kementerian pelancongan dan kebudayaan yang berkuasa penuh berhubung kesenian dan kebudayaan tempatan.

Oleh kerana perobohan arca itu adalah kesan kecuaian pihak yang tidak prihatin dengan perkara hak cipta dan hak moral seniman, mereka menuntut agar hak seniman dan hak karyanya dihargai oleh pihak berkuasa dan penggubal undang-undang di Malaysia dan berharap kejadian ini tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan.

Memorandum juga menyeru agar kerajaan Malaysia menandatangani Kovenan Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Budaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Fasal 15 kovenan ini memperakui hak setiap orang untuk memperoleh manfaat dari perlindungan atas kepentingan moral dan material yang timbul dari karya ilmiah, sastera atau seni yang telah diciptakannya.

Selain itu, Balai Seni Visual Negara perlu dihormati sebagai penaung kesenian negara. Sebarang keputusan sam ada untuk memulihara, mengubah dan melupus sebarang artifak dan karya seni awam hendaklah dirujuk dan tertakluk kepada bidang kuasa pada Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 dan Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Antara pencinta seni tanahair yang melakukan protes terhadap pemusnahan artifak dan karya seni di ibukota Kuala Lumpur.

Memorandum juga menyeru agar pihak DBKL melantik satu lembaga penasihat khas berkaitan perkara kesenian yang terdiri daripada wakil Balai Seni Visual Negara, seniman dan pereka mapan, budayawan dan tenaga akedemik dari universiti tempatan untuk bekerjasama dalam perancangan berkenaan kesenian dan kebudayaan.

Mereka juga percaya kerjasamadan saling bergantungan anara seniman dan pihak berkuasa dalam memahami konsep ‘kesenian dan warisan’ akan memberi nilai kepada landskap kota dan secara tidak langsung menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya yang kaya dengan estetika kesenian untuk masa hadapan.

Terdahulu mereka berarak dari pusat membeli belah Sogo menuju ke Suhakam sambil bermain pelbagai jenis alat muzik dan membawa kain batik panjang dan dihiasi pelbagai lukisan.

Sementara delegasi bertemu pihak Suhakam, mereka berkumpul di antara bangunan Tabung Haji dan Maju Junction dengan melakukan pelbagai aktiviti antaranya bacaan puisi, nyanyian dan pameran karya seni.