Aktivis Jingga 13 Selangor menyokong titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang menzahirkan rasa terkejut dan dukacita setelah mendapati hanya 615,210 dos vaksin Covid-19 diberikan kepada negeri Selangor dan bukannya 2.9 juta seperti mana yang dijanjikan.
Dalam kenyataan yang diterima Malaysia Dateline, Timbalan Ketua Koordinator Pusat merangkap Koordinator Jingga 13 Selangor, Mikheal Iskandar turut ingin bertanya kemanakah perginya jumlah baki 2,284,790 dos vaksin Covid-19 tersebut serta bilakah rakyat negeri Selangor akan mendapat vaksin tersebut.
“Jangan ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengambil peluang dan kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan berniaga vaksin ini dan akibatnya rakyat yang terus menanggung kesan dan penderitaan.
“Pihak yang bertanggungjawab sepatutnya mengambil berat isu ini kerana ia mengancam nyawa rakyat dan berada dalam suasana yang amat kritikal setelah peratusan virus ini meningkat hari demi hari terutamanya di negeri Selangor.
“Jingga 13 Selangor menyokong cadangan untuk menambahkan Pusat Pemberian Vaksin atau PPV di sekitar Selangor, khususnya di kawasan luar bandar. Begitu juga dengan pandangan Baginda Sultan supaya pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi seperti mana yang dilaksanakan di United Kingdom, Kuwait dan Amerika Syarikat, ” kata beliau lagi.
Malah Jingga 13 Selangor berharap pihak yang bertanggungjawab mengambil serius teguran Baginda memandangkan kes keseluruhan Covid-19 di Selangor sejak bermulanya pada Mac tahun lalu 2020 kini telah mencecah sebanyak 204,613 kes dengan angka kematian yang tinggi.
Tambahnya, semua ahli politik sepatutnya menghentikan permainan politik demi menyelamatkan nyawa rakyat serta segerakan usaha bagi mendapatkan dos vaksin secukupnya demi rakyat Selangor seperti mana yang diseru oleh Baginda Sultan bahawa nyawa rakyat Selangor harus diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain.