Aktivis DAP namakan Nurul Izzah sebagai calon PM

Oleh NASUHA RAHMAN

Pimpinan atau wakil rakyat dalam kalangan anak muda kini menjadi harapan besar rakyat untuk menerajui kepimpinan negara.

Nama Nurul Izzah Anwar antara yang menjadi sebutan anak muda sebagai calon Perdana Menteri akan datang.

Seorang Aktivis DAP Miswary Ramli telah menamakan tiga calon Perdana Menteri untuk 10 tahun akan datang iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan juga Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Ketika ditanya dalam segmen 10 soalan kepada pimpinan anak muda, Miswary berkata menjadi seorang pemimpin bukan sahaja menyediakan kemudahan kepada rakyat tetapi yang palinlg penting adalah boleh membentuk pemikiran masyarakat yang baik dan semakin baik dari masa ke semasa.

“Selain membangunkan infrastruktur dan kemudahan kepada rakyat dalam masa yang sama pemimpin perlu membentuk pemikiran rakyat,” katanya.

Miswary merupakan setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dan sudah terdedah dengan dunia politik sejak kecil sehingga ke peringkat universiti ketika berlakunya reformasi tahun 1998 dan secara rasmi menyertai DAP pada tahun 2012.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga bersedia menerima kepimpinan anak muda untuk menerajui negara.

Namun Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan kepimpinan sesebuah negara bukan terletak pada usia, sebaliknya idealisme serta semangat kental untuk membawa perubahan.