Aktivis desak kerajaan negeri bebaskan Orang Asli

Aktivis desak kerajaan negeri bebaskan Orang Asli

Aktivis Badan Gabungan Aktivis Alam Sekitar Kelantan Malaysia (BUMI), Syam Ghaz mendesak kerajaan negeri itu membebaskan lima Orang Asli di Gua Musang yang ditahan hari ini oleh Jabatan Perhutanan.

“Kami desak Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pentadbiran Pan Malaysian Islamic Party (Pas) membebaskan kesemua Orang Asli Gua Musang,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, sumber Orang Asli memberitahu lima rakan mereka di sekatan Simpang Petei ditahan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

Mereka adalah Majid dari Kampung Jader, Arif (Kampung Temaga Pos Gob), Harun (Kampung Penat Pos Simpor) serta Manglo dan Anjang masing-masing dari Kampung Kuala Bering.

Sehubungan itu, Syam menuntut penjelasan kerajaan negeri tentang penahanan tersebut memandangkan keputusan Mahkamah Majistret Gua Musang minggu lalu menyebelahi hak komuniti terbabit berhubung isu binaan sekatan menghalang aktiviti pembalakan.

“Kami mahu jawapan Kerajaan Negeri Kelantan dan Jabatan Perhutanan Kelantan, kenapa Orang Asli yang membuat sekatan (blockade) masih lagi ditahan selepas mahkamah membuat keputusan mereka sah menduduki kawasan itu dan membuat sekatan?

“Adakah Datuk Mohd Amar (Timbalan Menteri Besar Kelantan) mengarahkan Jabatan Perhutanan Kelantan untuk tahu hal sebenar? Takkanlah sebuah Kerajaan Islam begini tidak berhati perut pada mereka?

“Orang Asli juga rakyat Kelantan? Hanya sekadar untuk tahu maklumat sebenar?” bidas Syam lagi.

Difahamkan kira-kira 30 kenderaan diketuai Jabatan Perhutanan turut memusnahkan segala binaan sekatan di Simpang Petei dan Tohoi di Gua Musang hari ini.

TAGS